Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berucap pada sesi "Town Hall Maqasid Syariah" di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Lebih 400 pusat tahfiz yang berdaftar di seluruh negara kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta dalam Belanjawan 2019 bagi membantu menangani risiko kebakaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, bagi tujuan itu pihaknya akan bekerjasama dengan majlis-majlis agama Islam di negeri-negeri bagi mengenal pasti pusat tahfiz terlibat sebelum disalurkan bantuan.

“Sebab itulah dalam Belanjawan 2019 satu peruntukan besar diberikan kepada tahfiz iaitu RM50 juta digunakan untuk menyelesaikan isu-isu tadi (risiko kebakaran) daripada segi infrastruktur, keselamatan dan kebersihannya.

“Kita telah berhubung dengan pihak majlis agama Islam negeri dan mereka telah memaklumkan kepada kita berapa tahfiz yang berdaftar dengan mereka,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Town Hall Maqasid Syariah di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.

Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berucap pada sesi “Town Hall Maqasid Syariah” di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 APRIL 2019.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin semalam yang mendedahkan sebanyak 495 pusat tahfiz berdaftar di seluruh negara terdedah kepada risiko kebakaran.

Zuraida berkata, ini kerana pusat tahfiz berkenaan gagal mematuhi syarat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Jumlah itu adalah sebahagian daripada 1,267 pusat tahfiz berdaftar yang sudah menjalani pemeriksaan dengan baki 772 premis disahkan selamat.

Mujahid juga berkata, peruntukan yang disalurkan kepada pusat tahfiz yang berisiko tinggi dengan tahap keselamatan itu bergantung kepada keperluan serta nilai projek pembaikan yang akan dilaksanakan bermula Julai ini.

“Bersandarkan kepada jumlah itu kita memberikan peruntukan itu, tetapi ia masih tertakluk kepada projek (pembangunan dan pembaikan) yang berbeza-beza mengikut sekolah tahfiz,”

“Kita juga akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan isu keselamatan kerana tidak mahu pusat pembelajaran ini terdedah kepada risiko,” katanya lagi. – MalaysiaGazette