NAYPYITAW – Lebih 50 orang dikhuatiri terbunuh di Myanmar apabila pelombong dan peralatan melombong jed tertimbus di bawah tanah lewat semalam, kata seorang Ahli Parlimen dan pekerja penyelamat.

Tiga mayat telah dibawa keluar, kata seorang Ahi Parlimen yang mewakili kawasan Hpakant di negeri Kachin yang kaya dengan jed, Tin Soe hari ini.

Kejadian tanah runtuh dan kemalangan lain biasa berlaku di lombong yang tidak dikawal selia dengan baik di Hpakant.

Sejumlah 54 pekerja dua syarikat perlombongan, di samping 40 jentera dan kenderaan termasuk jengkaut dan lori terperangkap apabila tanah runtuh malam semalam, katanya.

“Mereka tidak akan selamat. Adalah mustahil kerana mereka tertimbus di bawah lumpur,” kata Tin Soe kepada Reuters menerusi pangilan telefon. “Adalah sukar untuk membawa mayat keluar,”.

Ketua bomba Hpakant, Aye Thein berkata, operasi mencari dilancarkan selepas subuh hari ini dan usaha itu masih berterusan.

Kementerian Penerangan Myanmar menerusi laman Facebook mengesahkan 54 pekerja hilang. Ia telah mengenalpasti syarikat terlibat sebagai Shwe Nagar Koe Kaung dan Myanmar Thura.

Reuters tidak dapat menghubungi syarikat tersebut untuk ulasan.

Badan bukan kerajaan alam sekitar, Global Witness menganggarkan pengeluaran jed di Myanmar bernilai kira-kira AS$31 bilion pada 2014. Para pakar berkata, kebanyakan batu permata itu diseludup ke China. – Agensi