Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, foto: NIZAM ZAIN.

KUALA LUMPUR – Orang Melayu dan kaum Bumiputera di negara ini diingatkan tidak terlalu naif dengan agenda Pakatan Harapan (PH) yang ingin memperjuangkan hak asasi manusia berkiblatkan negara barat.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa, terdapat gerakan sulit untuk melaksanakan ratifikasi Statut Rom dengan memberi alasan ia bertepatan dengan hak asasi manusia sedangkan perjanjian itu tidak bersesuaian dengan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.

“Mereka sendiri mempunyai perbezaan pendirian dan prinsip di antara satu sama lain, macam DAP dan sesetengah menteri PH bercakap soal hak asasi manusia dan memperjuangkannya seperti negara barat, nak tiru Amerika Syarikat dan Eropah.

“Kita pertahankan hak asasi namun begitu, kita tak mahu ada pihak di antara mereka mengambil kesempatan dengan menganggap keistimewaan kaum Bumiputera dan Melayu sebagai melanggar hak asasi manusia.

“Kita tak boleh pakai konsep demokrasi dan hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh barat. Keadaan kita berlainan, kita punya penduduk berbilang kaum, ada Bumiputera dan bukan Bumiputera,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Tajuddin selaku Ahli Majlis Tertinggi UMNO juga mendakwa, beliau dapat mengesan wujudkan gerakan di belakang tabir untuk menghapusan hak dan keistimewaan Melayu dan Bumiputera di sebalik agenda hak asasi manusia.

“Saya boleh mencium bau mereka nak menggunakan perjuangan hak asasi manusia ini antara menghapuskan hak Bumiputera.

“Kita kena cerdik, jangan bengong, dimanupulasi oleh mereka, mereka itu licik kalau orang Melayu Bumiputera tak berfikir secara mendalam, secara kritikal, kita kena tipu lah.

“Berapa lama Melayu nak kena tipu, depan kita dia cakap baik, setuju, akur, belakang dia tutuh, dia buat lain,” tegasnya.

Katanya, beliau tidak terkejut sekiranya menteri-menteri khususnya daripada DAP membelakangkan keputusan Kabinet 6 April lalu dan mahu meneruskan Statut Rom dengan giat melakukan program penerangan kepada rakyat.

“Begitu juga dengan Statut Rom ini, saya tak terkejut dalam Kabinet dia akur, tapi oleh kerana dalam jiwa dia tak boleh terima keputusan Kabinet (tarik balik) kerana takut Dr Mahathir mungkin.

“Jadi di luar Kabinet, DAP cakap apa, adakah dia sokong keputusan Kabinet atau dia bercakap benda lain. Saya tak terkejut kalau di dalam Kabinet dan di luar Kabinet dia bercakap lain, tak boleh percaya ini,” katanya.

Katanya lagi, beliau mengingatkan orang Melayu dan Bumiputera agar tidak mudah percaya dengan pendirian Kerajaan PH berhubung Statut Rom yang kini dilihat tidak sepakat untuk dibatalkan.

“Saya ingin mengingatkan kepada kaum Bumiputera dan orang Melayu supaya kita jangan jadi begitu naif atau bengong tak tentu pasal, bodoh tak tentu pasal, apa yang berlaku.

“Kita kena bijak melihat dengan gerakan mereka, modes operandi, taktik dan strategi mereka, yang mana tujuannya tidak lain untuk menegakkan agenda perjuangan parti mereka DAP untuk DAP,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. memang melayu bengong takut icerd. nanti buat jahat kena tangkap. tanpa icerd melayu boleh bebas . ingin jadi tuan besar . dalam tak sedar kena jajah kaum sendiri

Comments are closed.