Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan (tengah) membincangkan mengenai risalah badan bertindak pendidikan kebangsaan dengan Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Raof Hussin (kiri) dan Presiden Akademi Sains Islam Malaysia, Prof. Datuk Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud (kanan) selepas sidang media pembentangan hasil kajian penolakan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Wisma Majlis Perundingan Melayu, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Melayu (MPM) akan menyerahkan kata putus pihaknya menolak Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Perunding Bahasa MPM, Datuk Dr Awang Sariyan, ia akan dilakukan dalam masa terdekat.

Ini ekoran kenyataan Mahathir untuk membenarkan kembali PPSMI di sekolah.

“Sebenarnya kita sudah hantar banyak kali. Ini ulangan terus menerus. Dibacakan atau tidak, itu soal lain.

“Oleh sebab itu kita kena bersedia. Cadangan PPSMI dahulu tidak ada kajian, tidak ada apa terus dilaksanakan pada tahun 2003.

“Saya khuatir dengan pengumuman Perdana Menteri yang mengatakan dalam tempoh terdekat beliau akan buat perubahan iaitu transformasi pendidikan. Salah satu adalah bahasa Inggeris.

“Saya khuatir dalam konteks itu, ia akan melaksanakan semula PPSMI,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program penerangan hasil kajian penolakan PPSMI di Wisma MPM hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Raof Hussin dan mantan Pengarah Pengasas Institut Sel Fuel Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Wan Ramli Wan Daud.

Awang Sariyan yang juga Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) berkata, PPSMI telah disahkan program yang salah daripada segi dasar, matlamat dan pelaksanaan oleh pihaknya.

Menurut beliau, beberapa kajian daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), UKM malah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri juga mengesahkan kesilapan dan kegagalan program tersebut.

“KPM sendiri telah memansuhkan PPSMI pada tahun 2012, adakah kerajaan kini hendak mengulangi kesilapan sehingga sanggup masuk ke lubang biawak kali kedua?

“PPSMI bukan program pemulihan atau peningkatan penguasaan bahasa Inggeris kerana terbukti dalam kajian emperis bahawa penguasaan bahasa Inggeris tidak meningkat malah pencapaian pelajar dalam Sains dan Matematik juga turut merudum,” katanya lagi.

Mac lalu, Mahathir berkata, kerajaan PH akan mengambil pendekatan membenarkan PPSMI di sekolah pada masa sama pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa kebangsaan tetap diteruskan.

Jelas beliau, pendekatan jalan tengah itu diambil kerana ada rakyat Malaysia menyokong PPSMI manakala ada pula menentangnya.

PPSMI dimansuhkan mulai tahun 2012 di sekolah rendah dan sekolah menengah.

Pemansuhkan itu diumumkan oleh Menteri Pelajaran ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Julai 2009 setelah mendapat kecaman parti politik, ibu bapa cendekiawan, gerakan pelajar dan mahasiswa, pakar bahasa dan sasterawan di negara ini.

Sementara itu, satu perhimpunan mega akan disertai 35 badan bukan kerajaan (NGO) dianjurkan bagi menuntut kerajaan agar tidak melaksanakan semula PPSMI.

Himpunan yang dijadualkan pada 4 Mei ini adalah anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Malaysia (MAPIM) dan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH). -MalaysiaGazette