Saksi yang merupakan bekas Naib Presiden United Pasokmomogun Kadazandusun Murut (UPKO), Marcus Moligoh hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Bekas parti komponen Barisan Nasional (BN), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) mengakui menerima cek bernilai RM1 juta yang diserahkan sendiri oleh Datuk Seri Najib Razak.

Saksi ke-15 kes pendakwaan bekas Perdana Menteri iaitu bekas Bendahari UPKO, Datuk Seri Marcus Mojigoh berkata, cek itu berkaitan kegunaan parti berikutan siri mesyuarat Barisan Nasional pada tahun 2015.

“UPKO sedang menjalani kebangkitan parti pada masa itu dan saya juga memegang jawatan bendahari parti ketika itu.

“Program telah disenaraikan dan kami tidak mempunyai dana untuk diagihkan ke bahagian kami, jadi saya memberitahu pengerusi bahawa kami tidak mempunyai wang,” katanya kepada Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi di Mahkamah Tinggi di sini hari bagi kes perbicaraan Najib yang memasuki hari ke tujuh.

Ditanya Saifuddin siapa pengerusi yang dirujuknya itu, Marcus dengan pantas menjawab adalah ‘Datuk Seri Najib Bossku’.

Suasana ketika itu agak ceria kerana Marcus yang kini merupakan juruukur kelihatan gembira dapat bertemu bekas bos lamanya itu. – MalaysiaGazette