Saksi yang merupakan Pengarah di Pusat Penglibatan Strategik (CENSE) Sdn Bhd, Rita Sim Sai Hoon hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Pengasas Bersama dan Pengarah Centre For Strategic Engagement Sdn Bhd (CENSE), Rita Sim Sai Hoon mendedahkan syarikatnya telah dibayar sebanyak RM300,000 oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Saksi ke-14 kes pendakwaan Datuk Seri Najib Razak itu berkata, pembayaran dibuat selama dua bulan pada Disember 2014 dan Januari 2015 yang melibatkan kerja-kerja menjalankan tinjauan, penyelidikan dasar awam dan perkhidmatan pemantauan ke atas media berbahasa Cina.

“Kami melakukan perkhidmatan pemantauan media Cina ke atas enam surat khabar harian China setiap hari bersama laman web media sosial dan kita melihat isu dan masalah yang memberi kesan kepada komuniti Cina, meringkaskan setiap hari dan menghantar laporan kepada pejabat media di PMO,” katanya ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi di Mahkamah Tinggi di sini hari bagi kes perbicaraan Najib yang memasuki hari ke tujuh.

Rita berkata, arahan untuk menjalankan perkhidmatan pemantauan diberikan kepada mereka oleh Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis.

Rita turut mengesahkan kepada Muhammad Saifuddin bahawa beliau pernah bertemu Najib sebelum ini namun dalam kumpulan yang ramai.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Rita memberitahu skop operasi CENSE tetap tidak berubah sejak diperbadankan pada tahun 2010.

Beliau juga menjelaskan pernah menjadi Pengarah Eksekutif di Sin Chew Daily. – MalaysiaGazette