Polis mengesahkan serpihan tulang yang dijumpai di Gua Kandu, Gopeng, Perak pada Sabtu ialah tulang manusia.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan serpihan tulang yang dijumpai di Gua Kandu, Gopeng, Perak pada Sabtu ialah tulang manusia.

Pengesahan awal itu adalah hasil bedah siasat terhadap serpihan tersebut di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata spesimen darah salah seorang ahli keluarga peserta Gopeng Ultra Trail yang hilang sejak 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf Hassan, telah diambil untuk ujian Asid Deoksiribonukleik atau DNA.

“Serpihan tulang bersama spesimen darah tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya bagi tujuan perbandingan DNA.

“Keputusan ini dibuat untuk memperlihatkan perkaitan di antara penemuan tulang ini dengan kes kehilangan Mohammad Ashraf Hassan atau Acap memandangkan lokasi tulang ini dijumpai dalam radius atau lingkungan kawasan pencarian dan juga berhampiran dengan trek perlumbaan GUT 2019,” katanya dipetik dari Astro Awani.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di pejabatnya di Kampar hari ini.

Menurutnya, keputusan ujian DNA itu dijangka diketahui dalam tempoh satu hingga dua bulan.

Bagaimanapun, kata beliau, pihak polis akan berusaha untuk mendapatkan keputusan itu lebih awal daripada itu.

Dalam pada itu, beliau berkata operasi mencari Mohammad Ashraf masih diteruskan oleh orang kampung dalam skala yang lebih kecil.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Operasi cari Acap, penduduk jumpa tulang

 

Tinggalkan Jawapan