Dr. Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merujuk Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, mengikut perkara itu, Ketua Hakim Negara hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Tegasnya, beliau tidak setuju dengan kenyataan Mahathir kelmarin yang mengatakan sudah menjadi tugas Yang di-Pertuan Agong untuk wajib memperkenankan semua lantikan kanan yang dibuat oleh Perdana Menteri.

“Kenapakah Mahathir tidak memahami istilah berunding seperti yang dinyatakan dalam teks Perlembagaan Persekutuan itu?

“Apakah Mahathir yang 22 tahun berpengalaman sebagai Perdana Menteri terlepas pandang mengenai pengertian berunding?’ soalnya dalam kenyataan media hari ini.

Ahad lalu, dalam temubual Mahathir dengan akhbar The Star, beliau dilaporkan berkata bahawa, “..sebelum ini menjadi tugas Yang di-Pertuan Agong untuk wajib memperkenankan semua lantikan kanan yang dibuat oleh Perdana Menteri, tetapi beliau tidak faham mengapa kini Majlis Raja-Raja dilibatkan sama.

Kenyataan Perdana Menteri ketujuh itu merujuk kepada pelantikan bakal Ketua Hakim Negara yang baharu selepas persaraan wajib Richard Malanjum pada 12 April lalu.

Bahkan, kata Ibrahim, Mahathir juga seperti mempertikaikan kenapa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah merujuk juga kepada Majlis Raja-Raja sebelum membuat perkenan akan pelantikan tersebut.

“Sayugia diperingatkan, istilah berunding ini sangat digalakkan dalam Islam dan kelihatan sebagai satu kewajipan terutamanya bagi pemerintah.

Ibrahim berkata, berunding untuk kebaikan adalah titah perintah Allah dan sunnah Rasullullah, kenapa kerajaan perlu membelakangkan Majlis Raja-Raja dan menunjukkan sikap kurang ajar. – MalaysiaGazette