Datuk Seri Najib Tun Razak. foto AFFAN FAUZI, 23 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Eksekutif Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa parti negeri itu mendapat dana dari Ibu Pejabat UMNO sebanyak RM1 juta.

Saksi ke-12 perbicaraan Datuk Seri Najib Razak, Ahmad Sahak berkata, sebelum itu beliau telah menulis surat untuk memohon dana sebanyak RM2 juta pada tahun 2014.

Beliau menjelaskan, ketika itu, Allahyarham Datuk Seri Zainal Abidin Osman masih memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang.

“Saya akan menyerahkan surat-menyurat kepada Zainal untuk diserahkan kepada Najib. Beliau membawa surat itu untuk memohon RM2 juta daripada Ibu Pejabat UMNO.

“Jawatankuasa mendapat RM1 juta melalui cek dan memasukkannya ke dalam satu daripada dua akaun CIMB milik Jawatankuasa Perhubungan UMNO Pulau Pinang,” katanya ketika disoal balas oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Beliau turut mengesahkan  telah membuat kenyataannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya sebanyak dua kali iaitu yang pertama pada Julai 2015.

Ahmad, 56, menambah, pemohonan dana kepada Ibu Pejabat UMNO adalah perkara biasa bagi tujuan program parti.

Beliau memberitahu, Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang memerlukan dana RM1.5 juta untuk beroperasi setiap tahun.

“Adakah anda bersetuju bahawa pada tahun 2014, terdapat RM1 juta yang diterima dari Ibu Pejabat UMNO?” soal Shafee.

Ahmad bersetuju kerana dana telah digunakan untuk pembayaran gaji dan bahagian bagi menjayakan program termasuk amal serta bantuan kepada mangsa bencana.

Tambah Ahmad, UMNO negeri juga membiayai program pendidikan untuk pelajar cemerlang dan pelajar yang memerlukan sambil menambah butiran perbelanjaan dicatatkan dalam akaun badan perhubungan negeri. – MalaysiaGazette