Timbalan Ketua Pemuda Pas Perak, Hafez Sabri
Timbalan Ketua Pemuda Pas Perak, Hafez Sabri

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Negeri Perak mendesak Exco Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawannya, Asmuni Awi membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga Allahyarham, Ustaz Norazli Musa.

Ia berhubung kenyataa Asmuni yang didakwa melulu terhadap allahyarham ketika berlangsungnya sidang DUN Perak baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pemudanya, Hafez Sabri berkata, tindakan membuat tuduhan tanpa usul periksa oleh Asmuni berhubung rakaman suara yang didakwa sebagai allahyarham telah melukakan hati isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga serta semua sahabat handai Allahyarham Norazli.

Malah katanya, tuduhan seperti itu sangat ditegah dalam agama lebih-lebih lagi isu yang dibangkitkan olehnya melibatkan insan yang sudah kembali ke rahmatullah.

“Seharusnya beliau mendapat kepastian terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukum dan menyebar audio suara Almarhum Ustaz Norazli Musa dalam sidang DUN Perak kelmarin.

“Berbekalkan latar belakang seorang yang mahir dalam bidang undang-undang yang ada padanya, Asmuni Awi patut menjadi seorang yang teliti dalam menyelidik sesuatu perkara.

“Bukankah dalam isu ini semasa Almarhum Ustaz Norazli masih hidup beliau telah bertindak menyaman pihak yang menfitnah Almarhum kononnya beliau menyatakan bahawa “siapa yang keluar jamaah Islam (Pas) maka ia jatuh kafir”?,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Hafez, umum mengetahui bahawa Allahyarham Norazli telah kembali ke rahmatullah baru-baru ini.

Beliau dipilih Allah meninggal dunia dalam keadaan yang mulia di Kota Suci Madinah dan jenazahnya kini berada di perkuburan Baqi’ bersebelahan Masjid Nabawi yang menyimpan jasad yang mulia Baginda Rasulullah SAW, katanya.

Tambah beliau, menyentuh perihal Allahyarham yang dalam keadaan tidak dapat membela diri adalah satu tindakan yang jelek dan hina yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang memegang jawatan sebagai Exco Agama.

Ujarnya, perkara yang dibangkitkan oleh Asmuni itu juga merupakan isu lama di mana suara audio itu merupakan suara Allahyarham Norazli.

Hari terakhir Sidang DUN Perak semalam kecoh apabila Asmuni menyuarakan kebimbangan bahawa gabungan UMNO dan Pas akan menyuburkan budaya mengkafirkan pihak lain, hanya kerana tidak sependapat dalam perjuangan politik. – MalaysiaGazette

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.