Saifuddin Abdullah

PUTRAJAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru memasuki tahun pertama pentadbiran, telah mencapai beberapa kejayaan termasuk membersihkan imej Malaysia di persada antarabangsa selain mencari jalan penyelesaian kepada beberapa pertikaian penting dalam hubungan diplomatiknya.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata Malaysia kini tidak lagi dikenali sebagai negara kleptokrat oleh negara luar seperti sebelum ini.Malah katanya dunia mula melihat Malaysia sebagai negara yang memperjuangkan demokrasi, kebebasan, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.

“Kejayaan utama PH dalam setahun ini ialah mengilap imej Malaysia bahawa kita bukan lagi negara yang dikenali sebagai kleptokrat dan dunia mula melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang memperjuangkan demokrasi, soal kebebasan, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu temubual khas bersama media Malaysia di pejabat beliau di Wisma Putra sempena ulang tahun pertama pemerintahan PH Mei ini.

PH diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada pilihan raya umum 9 Mei lalu berjaya membentuk kerajaan baharu selepas menewaskan parti Barisan Nasional yang sebelum itu dikenali sebagai Parti Perikatan telah memerintah selama 61 tahun.

Saifuddin berkata kerajaan baharu ini juga lebih selesa membincangkan empat isu tersebut berbanding kerajaan terdahulu.

“Cara kerajaan baharu melihat aspek demokrasi, soal kebebasan, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang, kepada mereka yang mengenali Malaysia sebagai kleptokrat, mereka tahu apa sebenarnya yang sedang kami lakukan,” katanya.

Dalam hubungan dua hala, katanya beberapa pertikaian utama khususnya dengan Singapura dan China telah diselesaikan.

Katanya, pertikaian melibatkan Singapura iaitu Had Pelabuhan Johor Bahru dan Sistem Instrumen Pendaratan (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar telah diselesaikan, manakala perbincangan mengenai isu maritim kedua-dua negara dan kajian semula harga air mentah yang dijual kepada republik itu juga sudah di bawa ke meja rundingan.

“Paling penting perbincangan mengenai air. Sekurang-kurangnya kini ia sudah di bawa ke meja rundingan,” katanya.

Dr Mahathir pada Julai lepas menyatakan harga jualan air mentah Malaysia ke Singapura adalah tidak masuk akal dan mahu satu semakan dibuat mengenainya. Perjanjian Sungai Johor pada 1962 yang akan berakhir pada 2061, memberikan negara itu 250 juta gelen air mentah sehari pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen dan Malaysia membeli semula air dirawat pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Susulan itu, perbincangan mula diadakan awal tahun ini antara Peguam Negara kedua-dua negara, Malaysia diwakili Tommy Thomas manakala Singapura diwakili Lucien Wong.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata tuntutan harga baharu yang dibuat Malaysia dalam perbincangan yang memasuki fasa modaliti harga itu adalah berpatutan.

Dengan China pula katanya, dua perkara utama iaitu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia telah diselesaikan.Pada 12 April, kerajaan mengumumkan projek ECRL disambung semula pada kos lebih rendah susulan permeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Kos pembinaan bagi Fasa 1 dan 2 ECRL akan disambung semula dengan harga RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada unjuran asal sebanyak RM65.5 bilion.

Sementara itu pada Jumaat lepas, Dr Mahathir mengumumkan keputusan kerajaan untuk meneruskan semula projek Bandar Malaysia dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM140 bilion selepas ia diberhentikan secara tiba-tiba pada Mei 2017.

Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan semasa mesyuarat Kabinet pada 17 April dan IWH-CREC Sdn Bhd, konsortium Malaysia-China, pemaju induk bagi projek itu akan meneruskan kerja-kerja di Bandar Malaysia.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai pencapaian Kementerian Luar di bawah pentadbiran PH, Saifuddin berkata dalam tempoh tersebut Wisma Putra telah menonjolkan Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu yang bertemakan Perubahan Dalam Kesinambungan.

Antara lain, ia menyenaraikan halatuju, penambahbaikan serta penekanan baharu dasar luar negara dan cara kerja Wisma Putra.

Katanya, meskipun sebagai sebuah kerajaan baharu, dasar luar serta prinsip-prinsip asasi seperti dasar berkecuali dan tidak campur tangan dalam urusan negara lain, adalah tidak berubah.Selain itu, dasar luar untuk meletakkan kepentingan kepada Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) turut dikekalkan, ujarnya.

Menteri itu berkata pentadbiran kali ini juga telah dan akan terus memperkenalkan beberapa inovasi dalam pendekatan sedia ada, misalnya Dasar Pandang Ke Timur 2.0 yang lebih menitikberatkan aspek budaya kerja dan disiplin orang Jepun berbanding dasar sama diperkenalkan pada 1980-an yang melihat lebih kepada penguasaan dan pengetahuan teknologi.

Katanya, kerajaan juga sekali lagi bakal memberi perhatian kepada benua Afrika.

“Kami tidak ketengahkan bagaimana untuk berdepan isu membabitkan negara Afrika secara khusus tetapi kami memutuskan untuk meneliti mengenainya,” katanya.

Dari segi penglibatan di peringkat antarabangsa, katanya Malaysia akan terus memainkan peranan aktif di peringkat antarabangsa, misalnya menerusi pendekatan resolusi tajaan bersama ketika Malaysia tidak menganggotai platform membuat keputusan.

“Sebagai contoh (sebelum ini) kita aktif terlibat di pentas antarabangsa, lazimnya kita menganggotai platform membuat keputusan seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Majlis Keselamatan PBB (UNSC). Ketika itu kita aktif mengetengahkan isu penting, tapi andai bukan ahli UNSC kita kuranglah aktif.

“Namun baru-baru ini kita menjadi penaja bersama resolusi mengenai keselamatan wartawan (walaupun kita tidak menganggotai mana-mana platform membuat keputusan). Kita tak pernah menjadi penaja bersama resolusi seperti itu,” katanya.

Saifuddin berkata Malaysia juga akan mengangkat idea Maqasid Syariah (objektif syariah yang lebih tinggi) dan “demokrat Islam” sebagai “produk Islamik” baharu selain produk sedia ada seperti sistem kewangan Islam dan sistem perbankan Islam.

“Kebiasaannya apabila berbicara soal demokrasi, orang tidak pandang Malaysia. Orang melihat Pakistan, Tunisia, Indonesia dan Turki. Kita menyatakan Malaysia juga ada pengalaman sebagai sebuah negara Islam mengamalkan demokrasi yang baik,” katanya.

Malaysia juga akan mengetengahkan Dunia Melayu dan mengangkat nilai positif yang boleh dikongsi seperti cintakan keamanan dan hidup secara harmoni.

“Secara perbandingan, Dunia Melayu adalah kawasan yang aman di mana agama dan tamadun utama dunia boleh wujud bersama secara aman dan harmoni,” katanya.

Saifuddin berkata Malaysia sedang mengkaji semula Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang selama ini penting kepada hubungan luar negara.

Program kerjasama bermula sejak 1980 itu antara lain melibatkan perkongsian pengalaman serta kepakaran Malaysia dengan negara membangun yang lain.

Sementara itu ketika diminta memperincikan tiga perkara yang masih belum terlaksana, Saifuddin berkata beliau akan terus berusaha untuk membuka misi diplomatik di Istanbul, Turki dan Palestin, meratifikasi sebanyak mungkin konvensyen hak asasi manusia antarabangsa, serta menyelesaikan isu minyak kelapa sawit.

“(Minyak kelapa sawit) Satu isu besar. Saya sedar kita bukan agensi peneraju utama tetapi kita mainkan peranan yang sepatutnya untuk bersama-sama mempromosi minyak kelapa sawit,” katanya.

Bersama Kementerian Industri Utama, Wisma Putra sedang berbincang dengan beberapa negara lain yang bersedia untuk membeli lebih banyak minyak kelapa sawit daripada Malaysia.

Manifesto PH berkait rapat dengan kementerian itu, katanya termasuk ikrar untuk meratifikasi kesemua enam konvensyen hak asasi manusia antarabangsa iaitu Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Kovenan Antarabangsa mengenai Hak-Hak Sivil dan Politik (ICCPR), Kovenan Antarabangsa mengenai Hak-Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESCR), Konvensyen Terhadap Penyeksaan dan Kezaliman (CAT), Konvensyen Antarabangsa mengenai Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka ICRMW) dan Konvensyen Antarabangsa Untuk Perlindungan Semua Orang Dari Kehilangan Yang Dipaksa (ICPED).

“Buat masa ini kita mempunyai masalah dengan ICERD, kita memutuskan untuk tidak meratifikasi. Jadi tinggal lima, dua yang mempunyai peluang untuk diratifikasi ialah ICPED dan CAT. Kami tidak akan tergesa-gesa. Kami akan membincangkannya secara terpeinci dengan semua pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.

Menjawab soalan bagaimana beliau menilai dirinya dan Kementerian Luar Negeri, Saifuddin berkata: “Saya fikir kita sudah melakukan agak baik”.- BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.