Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap semasa sidang media pada Majlis Sambutan Hari JPJ Ke-73 di perkarangan Kementerian Pengakutan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 APRIL 2019.

PUTRAJAYA – Keputusan sama ada stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) boleh dibina di Nilai, Negeri Sembilan akan ditentukan oleh pengendali projek Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Katanya beliau mengemukakan cadangan stesen ECRL di Nilai itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan semalam atas kepentingannya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah dan Anggota Parlimen Seremban dan bukannya sebagai Menteri Pengangkutan.

Menurutnya, beliau mengemukakan cadangan itu kerana berpendapat penjajaran ECRL harus dimaksimakan untuk pertumbuhan ekonomi di sepanjang jajaran yang menghala ke arah selatan.

“Nilai juga adalah satu kawasan perindustrian dan kalau nak bangunkan Malaysia Vision Valley 2.0, maka perlu adanya sistem dan jaringan pengangkutan yang baik,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Bagi mengintegrasikan ECRL dengan landasan keretapi yang sedia ada, beliau berkata cadangan itu relevan kerana terdapat stesen komuter di Nilai.

Menurut Loke, ketika jajaran baharu ECRL dicadangkan kepada kerajaan, beliau tidak terlibat dalam perbincangan tersebut.

“Saya tidak mempengaruhi keputusan (stesen di Nilai) yang dibuat. Saya akan cuba berbincang tetapi keputusan terakhir akan terletak kepada pihak MRL yang mengendalikannya,” katanya.

Kos projek ECRL kini dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion kepada RM44 bilion daripada RM65.5 bilion sebelum ini, dengan penjajaran semula sepanjang 640 kilometer menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya.

Mengenai caj perkhidmatan penumpang (PSC), Loke berkata pihak kementerian masih lagi dalam peringkat perbincangan dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Ditanya mengenai garis masa, Loke berkata: “Kami tidak menetapkan garis masa kerana ia melibatkan banyak implikasi. Kami mempunyai perjanjian operasi dengan MAHB sebab itu kami terikat dan sebarang perubahan akan melibatkan implikasi kewangan.

“Jadi itulah sebabnya kenapa kami masih lagi mengadakan perbincangan dan kami akan melihat cara bagaimana untuk melaksanakannya,” katanya.- BERNAMA

Tinggalkan Jawapan