Presiden Kebangsaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai bercakap pada sidang media berkaitan parti tersebut yang tidak meletakkan calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.186 Sandakan di Menara PGRM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan hari ini mengumumkan tidak akan meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan 11 Mei ini.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, keputusan itu dibuat selepas Naib Presiden Gerakan, Datuk Seri Panglima Raymond Tan Shu Kiah yang sepatutnya dijadikan calon untuk mewakili parti itu bertindak keluar parti dua hari lalu.

Menurut beliau, Gerakan sememangnya berhasrat untuk bertanding pada PRK berkenaan dan Raymond adalah calon yang sesuai memandangkan beliau pernah menyandang dua kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah sebelum ini.

Katanya, keputusan Gerakan untuk bertanding selepas kaji selidik dijalankan oleh parti itu.

“Jika kita bertanding dalam PRK itu, kita kena ada satu calon yang sesuai. Selepas mendapat maklum balas daripada kawasan dan ahli Gerakan terutama Sandakan serta sabah, kita telah memilih Raymond.

“Tetapi beliau telah buat keputusan untuk keluar parti dan kita umum untuk tidak akan ambil bahagian (bertanding PRK) di Sandakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Dominic berkata, beliau telah menerima surat peletakkan jawatan serta-merta oleh Raymond yang turut menyatakan bahawa seramai 35 lagi ahli parti Gerakan di Sabah bertindak mengundur diri.

Katanya, beliau tahu kesemua ahli yang bertindak keluar parti itu merupakan mereka yang masuk ke dalam Parti Gerakan menerusi Raymond daripada parti Progresif Sabah (SAPP) pada 2009.

Mengulas lanjut, Dominic berkata, Gerakan akan mengambil bahagian pada mana-mana PRK yang ditandingi semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atau PRK di Pulau Pinang.

Dalam pada itu Dominic menegaskan, Gerakan melarang ahli-ahli parti itu untuk terlibat dalam mana-mana kempen sama ada calon berparti atau bebas pada PRK di Sandakan nanti. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan