Rina Mohd Harun

PUTRAJAYA – Dakwaan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengalami pergolakan membabitkan dua pemimpin utamanya tidak benar.

Ketua Srikandinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun menegaskan, hubungan pengerusi parti, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ada masalah dan tegang seperti yang ditularkan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, suasana baik dan mesra dua pemimpin itu dapat dilihat ketika mesyuarat Kabinet pagi tadi.

“Saya hendak menafikan sekeras-kerasnya Bersatu sedang bergolak. Saya harap tiada mana-mana pihak membangkitkan isu ini.

“Hubungan Tun dan Tan Sri baik dan tiada masalah malah mereka duduk sebelah-menyebelah ketika mesyuarat kabinet pagi tadi.

“Nampak macam biasa seperti selalu tetapi saya tidaklah perhati mereka berdua sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena menjelang kerajaan Pakatan Harapan setahun menerajui negara di kementeriannya di sini hari ini.

Rina diminta mengulas dakwaan mesyuarat tergempar majlis tertinggi Bersatu malam kelmarin yang membincangkan barisan baharu Exco Johor.

Sumber memberitahu mesyuarat berlangsung dalam suasana “sangat panas dan tegang” yang dipanggil bersidang dengan notis yang singkat ekoran kebimbangan barisan Exco yang diumumkan itu tidak pernah mendapat kelulusan pimpinan Bersatu.

Mereka mempersoalkan tindakan Menteri Besar Johor yang baharu dilantik, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang dikatakan tidak mengikut pendirian jemaah menteri untuk tidak merombak barisan Exco sedia ada.

Tindakan Sahruddin itu dikatakan dikritik kuat oleh Mahathir.

Turut kecoh tentang barisan Exco Johor baharu itu yang dikatakan ‘Geng Muhyiddin’.

Malah perbualan di Whatsapp dalam kalangan ahli Bersatu mengenai mesyuarat itu telah tular di media sosial. – MalaysiaGazette