Peniaga menyusun telur untuk dijual kepada orang ramai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 JANUARI 2019
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat secara perlahan pada kadar 0.2 peratus pada Mac 2019 kepada 121.1 berbanding 120.9 yang dicatatkan pada Mac 2018.

Kenaikan indeks keseluruhan ini didorong oleh indeks kumpulan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (+2.0 peratus), pendidikan (+1.3 peratus), makanan & minuman bukan alkohol (+1.1 peratus), minuman alkohol & tembakau (+1.1 peratus) dan restoran & hotel (+1.0 peratus).

Bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding bulan Februari 2019 disokong terutamanya oleh indeks kumpulan pengangkutan (+2.6 peratus), pelbagai barangan & perkhidmatan (+0.4 peratus) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (+0.3 peratus).

Ketua Perangkawan. Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, IHP pada suku tahun pertama 2019 mencatatkan penurunan sebanyak 0.3 peratus kepada 120.8 berbanding 121.2 suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Penurunan ini telah disumbangkan oleh kumpulan pengangkutan (-5.9 peratus), pakaian & kasut (-3.1 peratus), pelbagai barangan & perkhidmatan (-2.2 peratus) dan komunikasi (-1.2 peratus).

Bagi perbandingan suku tahunan, IHP mencatatkan penurunan sebanyak 0.1 peratus berbanding pada suku keempat 2018.

Secara keseluruhannya, indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol menunjukkan peningkatan 1.1 peratus pada Mac 2019.

Kenaikan ini didorong oleh kenaikan subkumpulan susu & Ttelur (+2.0 peratus) dan ikan & makanan laut (+0.1 peratus).

Antara indeks barangan yang menunjukkan kenaikan harga di kebanyakan negeri adalah telur ayam (+14.9 peratus), kerang (+7.6 peratus), ikan Tenggiri (+3.4 peratus), ketam (+3.1 peratus), Ssotong (+1.1 peratus), ikan Merah (+0.8 peratus) dan udang (+0.7 peratus). – MalaysiaGazette