petrol

PUTRAJAYA – Kabinet masih belum membuat sebarang keputusan akhir berkenaan penghapusan had paras harga petrol RON95, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Mengulas laporan media berhubung kenyataannya tentang penghapusan had harga bahan api itu, beliau berkata buat masa ini ia kekal pada RM2.08 seliter dan ini merupakan usaha kerajaan bagi melindungi rakyat daripada terdedah kepada harga petrol yang tinggi dan tidak menentu.

Beliau juga menjelaskan bahawa penstabilan harga runcit minyak dan pelaksanaan subsidi bersasar adalah satu daripada komitmen manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan bukannya RM1.50 seliter bagi petrol RON95 seperti yang berlegar-legar di media sosial.

Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan hari ini berkata penstabilan harga runcit bahan api itu telah pun dilaksanakan dan kerajaan komited melaksanakan subsidi bersasar supaya hanya golongan yang layak dan memerlukan sahaja menerima subsidi tersebut.

“Kerajaan sentiasa mendengar dan terbuka untuk mendengar cadangan daripada rakyat berkenaan pelaksanaan subsidi bersasar ini agar niat dan objektif di sebalik dasar ini tercapai,” katanya.

— BERNAMA