Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohmad Salleh bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Kes bunuh seorang peguam, Kevin Morais antara yang mencabar Datuk Seri Mohmad Salleh sepanjang berkhidmat sebagai anggota polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang bakal bersara mulai esok berkata, kes kontroversi melibatkan Timbalan Pendakwa Raya di Mahkamah Jalan Duta itu berprofil tinggi dan memberi cabaran kepada polis untuk menyelesaikannya.

“Sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, kes Kevin Morais, pada masa itu saya menjadi pengarah begitu mencabar.

“Ya kerana ia merupakan kes berprofil tinggi dan memerlukan siasatan yang rapi,” katanya kepada pemberita berkongsi pengalaman sepanjang karier yang tamat secara rasmi hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas berkenaan yang disempurnakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun di Pusat Latihan Polis di sini.

Katanya, sepanjang perkhidmatan 35 tahun tiga bulan dan 16 hari bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) – beliau telah berkhidmat di lapan kontinjen polis negeri termasuk sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur dan Timbalan Ketua Polis Selangor.

“Setiap jawatan itu yang disandang ada cabaran sendiri tapi peringkat awal perkhidmatan cabaran tak begitu besar kerana kita bukan menjadi seorang ketua tetapi menjadi orang bawahan yang menurut perintah.

“Apabila jadi komander, di situlah cabaran telah bermula sehingga menjadi pengarah dan bersara sekarang dan paling ketara apabila anda meningkat ke satu peringkat tinggi, KL salah satu mencabar, banyak operasi terlibat operasi bersih, Sarawak cabaran lain, mungkin jenayah tak banyak mungkin domestik isu melibatkan isu tanah adat pertikaian.

Beliau juga akan meraikan ulang tahun kelahirannya pada 25 April iaitu esok pada hari persaraan wajibnya.

Sebelum itu, Mohamad Fuzi secara ringkas berkongsi persahabatannya dengan Mohmad sepanjang 35 tahun bertugas seperti adik beradik dan mendedahkan Mohmad lahir 10 hari awal daripadanya.

Beliau dan Mohmad juga tidak pernah menjangka akan menjawat jawatan tinggi dalam PDRM.

Dalam pada itu, Mohmad pula berkata, beliau dan Mohamad Fuzi merupakan rakan akrab yang terjalin sejak Januari 1984.

“Masa lapor diri masing masing tidak kenal satu sama lain dan selepas 11 bulan latihan barulah menjadi sahabat akrab,” katanya lagi.

“Saya mahu PDRM utuh dan relevan setiap masa serta teruskan kesinambungan perkhidmatan cemerlang tanpa dimamah usia dengan penuh bersemangat,” ujarnya.

Katanya beliau mahu berehat dan bersara seratus peratus tanpa melibatkan diri apa apa komitmen lain selepas ini.

Menurutnya, tidak ada hajat untuk terlibat dalam perniagaan seperti Muhamad Fuzi disebabkan tiada kepakaran, pengalaman perniagaan serta tidak cukup modal.

“Kalau nak jadi pengutip durian jika perlukan bolehlah (sambil ketawa).. keadaan sekarang bukan suatu baik utuk perniagaan, cabaran besar.

“Akhir sekali, saya minta media beri sokongan tidak berbelah bahagi kepada PDRM boleh membantu dan membentuk balik imej PDRM.

“Dalam dunia kepolisan ini kalau sekali kamu menyarung (uniform) jadi polis sehingga mati kamu adalah pegawai anggota polis..itu jiwa kita terap semasa jalani latihan dan semangat itu kami bawa sentiasa,” tegasnya. – MalaysiaGazette