Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas mahu pembangunan Kampung Baru hanya dilaksanakan selepas rundingan bersama penduduk tempatan diadakan supaya kawasan tersebut kekal di tangan prang Melayu dan identiti warisan sejarahnya yang unik terpelihara.

“Kementerian Wilayah Persekutuan hendaklah mengemukakan hasil resolusi perbincangan bersama Perbadanan Pembangunan Kampung Baru terlebih dahulu sebelum menyatakan hasrat untuk membeli seluruh tanah tersebut.

“Malah, keputusan kaji selidik Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru dan Kongres Pembangunan Kampung Baru pun masih belum wujud,” kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan memerlukan dana sehingga RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan bersepadu masyarakat Melayu di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Bagaimanapun katanya, dana RM10 bilion diperlukan dengan syarat seluruh pemilik tanah di Kampung Baru bersetuju menerima tunai sebagai rundingan pengambilalihan tanah milik mereka untuk dibangunkan pemaju yang akan dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Nasrudin juga menegaskan, pembelian seluruh tanah di Kampung Baru yang dianggarkan mencecah RM10 bilion untuk tujuan pembangunan moden mestilah tidak meminggirkan nasib orang Melayu.

“Kampung Baru adalah perkampungan bersejarah orang Melayu di Kuala Lumpur dan ia telah berusia lebih 110 tahun.

“Pas tidak mahu struktur ekologi baharu Kampung Baharu hanya menyebelahi pihak kapitalis sehingga mengabaikan nilai asas,” katanya.

Katanya lagi, sebelum ini terdapat pelbagai cadangan pembangunan Kampung Baru tetapi masih belum menemui jawapan muktamad.

“Selain Kampung Baru, terdapat dua lagi penempatan orang Melayu di pusat bandaraya Kuala Lumpur iaitu di di Kampung Datuk Keramat dan Kampung Pandan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan