Kim Jong-un. foto Nikkei Asian Review

SEOUL – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dalam perjalanan ke Rusia untuk bertemu dengan Presiden Vladimir Putin.

Kim ke sana dengan menaiki keretapi peribadinya.

Ia merupakan pertemuan pertama kedua-dua pemimpin.

Kremlin berkata, Kim dan Putin akan bertemu di bandar perairan pasifik di Vladivostok pada hari Khamis dan perbincangan mereka adalah mengenai ‘masalah nuklear’ di Semenanjung Korea.

Para penganalisis berkata, Kim mahu mendapatkan sokongan Rusia selepas sidang kemuncak dengan Presiden Donald Trump gagal.

Kim dan Trump telah bertemu di Hanoi pada Februari lalu berhubung penghapusan program nuklear tetapi pertemuan kedua itu gagal tanpa sebarang perjanjian.

Pembantu polisi asing Putin, Yuri Ushakov berkata, situasi di Semenanjung Korea telah stabil dan Rusia bersedia untuk membantu dalam mana-mana situasi.

Setakat ini lokasi dan waktu pertemuan belum ditentukan tetapi bendera kedua-dua negara sudah dipasang di Kepulauan Russky itu.

Awal bulan ini, Korea Utara menuntut Setiausaha Amerika Syarikat, Mike Pompeo dikeluarkan daripada perbincangan nuklear kerana ‘bercakap tidak masuk akal’ dan meminta seseorang yang lebih berhati-hati untuk menggantikannya.

Pyongyang telah menyalahkan Pompeo di atas kegagalan sidang kemuncak di Hanoi. – MalaysiaGazette