Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih lagi bercakap tidak benar tentang kedudukan hutang negara.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan memberitahu Dewan Negara bahawa hutang rasmi negara telah naik ke RM741 bilion (51.8% daripada KDNK) pada akhir tahun 2018 berbanding RM686.8 bilion (50.8% daripada KDNK) pada akhir tahun 2017.

Tetapi, anehnya jawapan Datuk Amiruddin Hamzah itu ialah jumlah hutang itu bercampur dengan liabiliti masih RM1.1 trilion.

Najib berkata, kenyataan Amiruddin itu membuktikan Perdana Menteri dan Lim Guan Eng telah berbohong dalam Dewan Rakyat bahawa hutang negara telah turun di bawah kerajaan PH.

Bagaimana ini berlaku? Inilah permainan PH sebelum PRU, ketika menang dan dah habis PRU pun masih temberang yang sama,” kata Ahli Parlimen Pekan itu.

Menurut Najib, Lim Guan Eng ketika diminta memberi butiran tentang “hutang RM1 trilion” pada sesi Parlimen bulan Oktober tahun lalu berkata hutang itu termasuk pembayaran pajakan sehingga tahun 2045.

“Kita boleh tengok hutang rasmi tahun 2017 yang digunakan olehnya semasa mengira hutang RM1.1 trilion adalah RM686.8 bilion pada akhir tahun 2017.

“Semalam kita diberitahu bahawa hutang rasmi telah naik dari RM686 bilion kepada RM741 bilion tetapi hutang negara tetap RM1.1 trilion.

“Inilah permainan sebenar mereka! Berulang ulang guna angka 1 trillion sebab penyokong mereka masih kelabu akal dan taksub.

“Hutang rasmi akan semakin meningkat di bawah PH tetapi jawapan propaganda untuk hutang negara mereka akan tetap RM1.1 trilion kerana pengiraan liabiliti sampai tahun 2045 itu boleh diubahsuai sesuka hati oleh PH.

“Itulah sebab mereka awal-awal umumkan “hutang negara” adalah RM1.1 trilion,” dakwa Najib.

Najib berkata, hutang rasmi negara boleh terus naik dengan cepat di bawah PH sehingga benar-benar cecah RM1 trilion tidak lama lagi kerana ia adalah matlamat kerajaan dan fakta ini boleh disembunyikan dengan mengubahsuai pengiraan liabiliti hingga tahun 2045 itu.

“Propaganda “hutang negara” PH akan tetap RM1.1 trilion dan BN tetap boleh disalahkan. PH boleh terus menipu.

“Licik tak?” soal Najib. – MalaysiaGazette