Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan bekas-bekas rektor UIAM pada Majlis Pelancaran Tabung Pelajar Antarabangsa AbuSulayman UIAM di Kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak. Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 24 APRIL 2019

GOMBAK – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian bahawa beliau enggan menjadi Menteri Kewangan sekiranya pimpinan Pakatan Harapan (PH) menawarkan jawatan berkenaan kepadanya.

Katanya, ekonomi yang tidak kukuh antara faktor beliau tidak mahu  memegang jawatan itu sekarang.

“Jika saya ditawarkan Menteri Kewangan sekarang saya tidak akan mengambilnya.

“Pertumbuhan ekonomi (zaman Anwar sebagai Menteri Kewangan) 10 peratus, sekarang 4.5 peratus,” katanya pada pelancaran Tabung Bantuan Pelajar Antarabangsa Abusulayman UIAM, di kampus itu hari ini.

Anwar merujuk kepada jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) Malaysia bagi 2019 akan mencecah tahap sederhana sebanyak 4.5 peratus.

Bagaimanapun, pada tahun lalu KNDK negara dicatatkan 4.7 peratus.

MGF24042019_ANWAR UIAM_01
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Pelancaran Tabung Pelajar Antarabangsa AbuSulayman UIAM di Kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak. Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 24 APRIL 2019

Untuk rekod, Anwar berkata, KDNK semasa beliau memegang jawatan Menteri Kewangan pada 1991 hingga 1998 adalah pada kadar 10 peratus.

Kadar itu, katanya, berbeza dengan sekarang sehingga menyebabkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terpaksa memberikan jawapan bahawa segala peruntukan masih dalam pertimbangan kerajaan setiap kali diutarakan soalan itu.

“Jawapan yang diberi oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa kerajaan akan lihat, tidak boleh luluskan (sebarang peruntukan) sekarang dan atas dipertimbangkan.

“Ini jawapan biasa, kerana ada masalah kewangan,” katanya lagi.

Anwar ketika sesi soal jawab selepas selesai ucapan penggulungan pada Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, pada 1 April lalu berkata beliau tidak mahu menganjurkan jawatan itu kerana pertumbuhan ekonomi yang lembab.

Dalam majlis hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu juga turut menyampaikan replika cek bernilai RM1.03 juta yang akan dimasukkan ke dalam tabung berkenaan. -MalaysiaGazette