Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan sebahagian penyokong ketika hadir untuk perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Hari ini masuk hari ke-8 perbicaraan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berdepan  dengan kes penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd di mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Seperti biasa,  beliau tiba tepat pada jam 8.50 pagi dengan menaiki TN50 dalam keadaan ceria, apatah lagi pada hari ini  beliau hadir bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan kereta berasingan.

Kedua-dua mereka juga disambut oleh sekumpulan wanita seramai lebih 80 orang yang datang dari Pekan bagi menyatakan sokongan kepada Najib dan Rosmah.

Kumpulan wanita itu sudah ‘berkampung’ seawal 7.30 pagi menantikan kehadiran mereka.

Najib yang mengenakan kot berwarna coklat sempat bersalaman bertegur sapa dengan kumpulan wanita yang nampak mesra dengan pasangan suami isteri itu.

MGF24042019_Mahkamah Najib_08
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersalaman dengan sebahagian penyokong selepas mendengar perbicaraan kes suaminya yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 APRIL 2019.

Rosmah yang mengenakan baju kurung hijau  pula kelihatan ceria sambil sempat berbual-bual dengan kumpulan wanita itu terlebih dahulu.

Rosmah ditemani oleh peguamnya, Noor Hajran Mohd Noor hadir ke mahkamah pagi ini selepas pihak pendakwaan memfailkan permohonan untuk kes rasuah dan pengubahan wang haram serta kes rasuah juga dihadapi oleh bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Rizal Mansor untuk dibicarakan bersama.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan memaklumkan perkara itu semasa sebutan semula kes tersebut di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah yang diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Datuk K. Kumaraendran mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi kes projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta, dua tahun lepas.

Rizal yang diwakili peguam Ridha Abdah Subri mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah, berjumlah RM5.5 juta, melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak.

Kesemua pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 10 kali jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.-MalaysiaGazette