Mohamaddin Ketapi

KUALA LUMPUR – Cadangan Balai Seni Lukis Negara untuk mengadakan pameran lukisan bertemakan kartun animasi Jepun, Doraemon tidak mendapat kelulusan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, walaupun menghargai usaha Datuk Rashidi Hasbullah sebagai pengerusi Balai Seni Lukis Negara untuk mempromosikan #VisitMalaysia2020 namun usaha tersebut tidak mendapat sokongan kementeriannya.

“Terima Kasih kepada anda semua yang membawa isu ini kepada saya.

“Walaupun saya menghargai usaha bekas KSU untuk mempromosikan , ingin saya tegaskan bahawa usaha ini tidak mendapat sokongan dan kelulusan dari saya,” katanya dalam ciapan di laman Twitter.

Mac lalu Rashidi yang juga bekas ketua setiausaha kementerian melontarkan cadangan tersebut sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 yang menurut beliau secara tidak langsung dapat mempromosikan Malaysia di mata dunia.

Beliau berkata, Doraemon mempunyai ramai peminat di seluruh negara dan ia secara tidak langsung menjadi daya penarik pelancong luar datang ke negara ini.

Cadangan tersebut menerima pelbagai reaksi dan rata-rata rakyat Malaysia menyanggah idea itu yang dilihat sebagai meminggirkan watak-watak animasi terkenal tempatan seperti Upin Ipin dan Kampung Boy.

Ia juga dipersoalkan oleh Presiden Persatuan Animasi Malaysia (Animas), Ameir Hamzah Hashim kerana berpendapat ia seakan-akan tidak menghargai karyawan animasi tempatan.

“Malaysia tidak kurang hebat dengan watak animasi sedia ada antaranya Lat Kampung Boy, Upin dan Ipin, Boboiboy, Usop Sontorian, Keluang Man dan lain-lain yang pernah dan masih digemari penonton,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: Apa rasional pilih Doraemon?