Hamdan Sani
Hamdan Sani

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Negeri Sarawak menolak sebarang bentuk penganjuran mengekploitasikan wanita untuk tujuan hiburan melampau seperti acara Miss Grand 2019 yang kini sedang berlangsung di Miri, Sarawak.

Ketua Pemudanya, Hamdan Sani berkata, pihak berwajib negeri itu perlu meneliti semula keputusan yang telah ditetapkan Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan pertandingan ratu cantik yang telah diputus pada tahun 1997.

Beliau menegaskan, Dewan Pemuda Pas Sarawak mahu memberi nasihat supaya pihak-pihak tertentu tidak sesekali meniru dan mengikut budaya Barat dalam perkara yang boleh merosakkan norma masyarakat negara ini.

“Kami juga menyeru kepada seluruh persatuan, NGO dan rakyat di negara Malaysia dan negeri Sarawak khususnya untuk sama-sama menolak program seperti ini yang mengekploitasikan wanita dengan melampau.

“Kita ada budaya kita sendiri yang penuh dengan budi bahasa, sopan santun dan seni yang tinggi dan luhur.

“Jangan dikorbankan maruah peribadi kerana mengejar sesuatu yang boleh menghakis jati diri kita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hamdan berkata, menurut maklumat yang terdapat dalam facebook rasmi acara tersebut, Miss Grand Malaysia dihadiri oleh seorang ahli perniagaan yang merupakan transgender, Mohd Sajjad Kamaruzzaman.

Katanya, sumber memberitahu bahawa terdapat pertandingan tidak sesuai dengan budaya masyarakat Timur yang penuh budi bahasa dan maruahnya turut diadakan.

“Kami ingin tegaskan umat Islam dilarang sama sekali untuk melibatkan diri dalam pertandingan seumpama ini sama ada menjadi peserta, penganjur dan penonton.

“Kami juga menyeru pihak yang terlibat agar kembali ke pangkal jalan dengan mengharapkan Allah mengampuni dosa kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette