Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bercakap sesuatu kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohmad Salleh (kiri) pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Satu pasukan khas ditubuhkan bagi menjejaki bekas suami Indira Gandhi, Mohammad Riduan Abdullah atau nama Hindu Padmanathan yang telah melarikan anak perempuannya berusia 10 tahun, Prasanna Diksa.

Sehingga kini, mereka masih gagal dikesan sejak dilarikan pada tahun 2009.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pasukan khas yang ditubuhkan oleh Bukit Aman itu akan diketuai oleh Pemangku Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed.

“Dalam kes Indira, kita dan beberapa pihak berjumpa organisasi yang mengendalikan kes dengan keluarga Indira dan peguamnya dan bertukar pandangan dan maklumat berkaitan isu ini serta menjelaskan tindakan yang telah dilaksanakan polis untuk menjejaki mereka berdua.

“KIta juga memberikan pegawai kami yang boleh dihubungi melalui pasukan khas yang ditubuhkan itu untuk mengesan mereka,” katanya kepada pemberita di Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Pusat Latihan Pulapol di sini hari ini.

Ditanya mengenai maklumat yang mengatakan Mohammad Riduan dikesan di Thailand, Mohamad Fuzi berkata, polis juga menerima maklumat lelaki itu dikesan berada di Johor dan Kelantan.

Malangnya tiada indikasi yang membawa kepada bukti individu itu berada di tempat yang dinyatakan itu.

“Itu tidak bermakna kami berdiam diri sebaliknya kita mengambil tindakan dengan mengambil maklumat dan tindakan susulan sehingga dapat mengesan kedudukannya,” ujarnya.

Ditanya adakah dia mungkin berada dalam negara, Mohamad Fuzi berkata:”Kalau ada dalam negara kita sudah kesanlah,…masalahnya kita takde maklumat dia ada dalam negara atau tidak.”

“Ada maklumat kata dia dikesan berada di tempat tertentu pada masa tertentu dan kita pun bertindak dengan menghantar pegawai ke lokasi itu untuk mencari secara total”.-MalaysiaGazette