Pengurus Ambank Cawangan Jalan Raja, R. Uma Devi (kiri).- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Anak syarikat SRC International, Ihsan Perdana Sdn Bhd didakwa telah menerima dana sebanyak RM50 juta antara 2014 sehingga 2015 daripada akaun AmIslamic Gandingan Menteri.

Saksi ke-20, Rosaiah Muhammad Rosli yang juga merupakan pegawai proses Affin Bank mengesahkan jumlah tersebut telah dikreditkan sebanyak RM40 juta pada 24 Disember 2014, RM5 juta pada 5 Februari 2015 dan RM5 juta lagi pada 6 Februari 2015.

Rosaiah yang bertugas mengendalikan pemindahan elektronik telah mengesahkan kredit dalam tiga transaksi daripada AmIslamic Gandingan Mentari.

Barisan pendakwa dan peguam bela bertikam lidah seketika mengenai sama ada Rosaiah patut mengemukakan dokumen berkaitan transaksi jutaan ringgit lain selain dana RM42 juta melibatkan akaun Ihsan Perdana di Affin Bank.

Peguam Harvinderjit Singh merujuk kepada transaksi 11 cek yang menyaksikan aliran masuk serta keluar wang berjuta-juta ringgit Ke akaun Ihsan Perdana di Affin Bank.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram berpendapat transaksi jutaan ringgit melalui ‘money trail’ yang disebut oleh Harvinderjit itu tidak relevan serta tidak berkaitan dengan pertuduhan melibatkan RM42 juta SRC International.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian bertindak memberi kebenaran permohonan pasukan pembelaan namun telah mengehadkan kepada jumlah transaksi RM10 juta akaun Ihsan Perdana di Affin Bank.

Ihsan Perdana dan Gandingan Mentari ialah anak syarikat SRC International.

Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, R. Umadevi yang merupakan saksi ke-21 telah mengesahkan SRC International mempunyai dua akaun semasa di bank tersebut.

Untuk akuan pertama yang telah dibuka pada 10 November 2011 mempunyai lima individu yang bertanggungjawab menandatangan bagaimanapun, akaun kedua mempunyai empat penandatangan. –MalaysiaGazette