Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohmad Salleh (tiga kiri) beramah mesra dengan penerima-penerima pingat jasa pahlawan pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Bekas kakitangan kontrak Cawangan Khas Bukit Aman yang dikaitkan sebagai saksi utama dalam kes kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat bukan anggota polis seperti yang didakwa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan maklumat itu kepada pemberita hari ini selepas individu itu masih gagal muncul untuk bekerjasama dalam kes pencarian Amri setakat ini.

Beliau ditanya sama ada polis akan menyiasat atau mengeluarkan waran tangkap ke atas individu itu untuk memastikan dia memberi kerjasama kepada polis untuk menjejakinya.

“Dia bukan polis…dia merupakan bekas penjawat awam yang pernah bekerja dengan polis dan telah meletakkan jawatan (Bukit Aman),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman melibatkan Komisioner Datuk Seri Mohmad Salleh kepada pemangku jawatan itu Deputi Komisioner Datuk Kamarul Zaman Mamat di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Ditanya sama ada waran tangkap akan dikeluarkan untuk menjejaki individu yang identitinya dikenali sebagai Saiful Bahari, Fuzi berkata pihaknya telah menjalankan siasatannya dan telah merujuk kes itu kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Kita akan buat (waran tangkap) sekiranya dirasakan perlu nanti, tetapi kami sudah merujuk kertas siasatan pun kepada Timbalan Pendakwa Raya dan kita tunggu tindakan selanjutnya,” katanya.

Suhakam awal April ini dalam inkuiri awam menyimpulkan bahawa Amri dan Pastor Raymond Koh diculik dengan didalangi Cawangan Khas Bukit Aman.

Panel tiga ahli Suhakam membuat kesimpulan itu bahawa orang yang terlibat dalam kehilangan itu merupakan anggota Bukit Aman.

Suhakam juga mendakwa kereta Toyota warna emas milik Saiful dilihat diparkir di luar pekarangan kediaman Amri selama tiga hari berturut-turut sebelum dilaporkan hilang.

Namun pada 6 April lalu, Fuzi menyatakan kekecewaan terhadap kenyataan terbuka Suhakam yang menuduh polis dalam kes tersebut. – MalaysiaGazette