Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan kad pengundi kepada 39,349 orang pengundi di Parlimen Sandakan yang meliputi 270 orang pengundi awal dan 39,079 orang pengundi biasa.

Kad tersebut mengandungi maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan, tarikh dan masa mengundi.

Maklumat tersebut akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari mengundi awal pada 7 Mei 2019 dan hari mengundi biasa pada 11 Mei 2019.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pengundi yang telah menerima kad tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad tersebut.

SPR telah mengedarkan kad tersebut mulai 19 April 2019 kepada semua pengundi bagi PRK Parlimen P.186 Sandakan, Sabah.

Namun, pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.

Bagi mana-mana pengundi yang tidak menerima kad berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan.

Semakan boleh dibuat melalui portal SPR www.spr.gov.my atau Aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR <jarak> SEMAK <jarak> NOMBOR KAD PENGENALAN hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018. – MalaysiaGazette