Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Muhammad Khalil Abdul Hadi.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diingatkan tidak membebaskan pemberi rasuah yang sewajarnya dihukum seperti mana dikenakan terhadap penerima rasuah khususnya melibatkan penjawat awam.

Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan, agensi itu perlu mendedahkan identiti dan mengambil tindakan tegas terhadap pemberi rasuah daripada terus memperdaya penjawat awam untuk melakukan pecah amanah.

“Jangan kita semua lupa di sebalik semua ini, yang memberi rasuah juga wajib dihukum serta didedahkan identiti mereka.

“Mereka inilah bertanggungjawab menyogok wang ringgit dan habuan kepada kakitangan awam supaya tidak amanah dan jujur dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

“Tanpa orang yang memberi rasuah serta memperdaya kakitangan awam dengan habuan wang ringgit serta harta, rasuah tidak akan berlaku jika tiada memberi dan memperdaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Khalil juga menegaskan, agensi penguatkuasa perlu menyekat segala bentuk aktiviti pemberi rasuah termasuk menyiasat kepentingan mereka.

“Pemberi rasuah wajib dihukum serta di dedahkan identiti mereka.

“Jika rasuah itu melibatkan kepentingan perniagaan, maka perniagaan tersebut harus disiasat serta kemungkinan disita.

“Lesen perniagaan nya pula perlu digantung ataupun pemiliknya dilarang menjalankan perniagaan selain daripada denda dan hukuman penjara,” katanya.

Katanya lagi, meskipun terdapat segelintir penjawat awam terlibat dalam salah laku rasuah, namun ia tidak mencerminkan kepada keseluruhan agensi perkhidmatan awam itu.

“Jangan hanya kerana tindakan segelintir kakitangan awam yang berbuat onar, yang lain turut menerima tempias dan dipersalahkan.

“Jangan pula kerana tindakan tersebut, kakitangan awam diburuk-burukkan, diperlekeh malah digambarkan tidak efisyen dan berdaya saing.

“Jangan kita lupa, masih terlalu ramai kakitangan awam yang berdedikasi, jujur dan amanah dan menjadi pemangkin pembangunan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan