Tan Sri Leo Moggie

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd (TNB) terbukti telah mengorak langkah jauh sejurus penubuhannya pada 1949 sebagai Lembaga Letrik Pusat (CEB) untuk menjadi pemangkin pembangunan negara.

TNB yang meraikan ulang tahun ke-70 pada September tahun ini, juga telah mengharungi beberapa transformasi utama, termasuk penjenamaan semulanya sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN) pada 1965, disusuli penswastaan pada 1990 dan diperbadankan pada 1992.

Menyingkap transformasi TNB, Pengerusinya Tan Sri Leo Moggie berkata gergasi utiliti nasional itu telah mencatat pertumbuhan dan pengukuhan sepanjang tahun terutamanya dalam tempoh peningkatan permintaan yang ketara bagi bekalan tenaga sejak 1980-an.

“TNB telah berkembang dengan matang sejak 70 tahun lepas serta mencatat sumbangan besar kepada pembangunan negara selain memastikannya kekal relevan dalam setiap peringkat pembangunan teknologi dan pertumbuhan negara,” kata beliau dalam temu bual dengan Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata seiring dengan pertumbuhan ekonomi, permintaan tenaga turut berkembang namun TNB kekal komited dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pengedar tenaga tunggal di negara ini.

“Kami merekodkan permintaan tertinggi tenaga pada 18,566 megawatt (MW) beberapa hari lepas berbanding (tempoh) 1978/1979 yang menyaksikan permintaan ketika itu sekitar 1,260 MW,” katanya.

Menurut Moggie, walaupun menyaksikan lonjakan permintaan terhadap tenaga, industri itu masih mempunyai kira-kira 20 peratus margin simpanan bagi menampung sebarang kemungkinan berlakunya kejadian tenaga terputus.

Beliau berkata TNB juga telah mempertingkat kualiti bekalan elektrik di negara ini yang diukur menerusi Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) yang juga kaedah digunakan oleh industri tenaga global bagi mengukur masa yang dialami pengguna setiap kali bekalan terputus dalam tempoh setahun.

“SAIDI TNB pada masa ini mencatat 48 minit dan kami berbangga dengannya. Kita jauh lebih baik daripada United Kingdom,” katanya.

Sebagai perbandingan, SAIDI di England mencatat 55 minit pada tahun lepas, Perancis (60 minit), Ireland (90 minit) dan Australia (125 minit) manakala negara jiran, Thailand merekodkan SAIDI sebanyak 60 minit.

Moggie berkata, satu lagi penanda aras lain adalah Minit Sistem Transmisi yang mengukur minit gangguan akibat transmisi atau penghantaran bagi setiap tahun yang menyaksikan TNB mencatat kurang seminit bagi 2018, satu rekod yang setimpal dengan catatan negara maju.

“Ini jelas memaparkan bahawa rangkaian transmisi kita pada masa ini adalah agak cekap,” katanya.

Mengulas persepsi bahawa TNB memonopoli industri tenaga, Moggie berkata persepsi salah sedemikian adalah disebabkan oleh peranan TNB sebagai pembekal tenaga tunggal di negara ini.

“Di kebanyakan negara, rangkaian penghantaran utama itu selalunya dimonopoli secara semula jadi dan lazimnya diuruskan oleh agensi kerajaan yang dikawal selia,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, industri penjanaan tenaga di negara ini terbuka bagi penyertaan kepada pihak lain yang dikenali sebagai penjana tenaga bebas (IPP) yang diperkenalkan pada awal 1990-an.

“Kapasiti penjanaan TNB secara sendiri adalah kira-kira 49 peratus manakala 51 peratus lain dijana IPP dan seterusnya dijual kepada TNB sebagai pembeli tunggal menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata PPA itu merupakan perjanjian jangka panjang berdasarkan dua komponen – caj kapasiti dan caj tenaga.

“Caj kapasiti itu bertujuan menampung modal pelaburan bagi pembinaan stesen jana kuasa manakala caj tenaga itu berdasarkan kepada harga bahan api (gas atau arang batu) yang digunakan bagi menjana tenaga,

Caj kapasiti adalah untuk membolehkan pemulihan pelaburan modal untuk membina loji janakuasa, manakala caj tenaga adalah berdasarkan harga bahan bakar (gas atau arang batu) yang digunakan untuk menjana kuasa, bergantung kepada pergerakan harga bahan api di peringkat antarabangsa,” katanya.

Moggie turut menyifatkan penyertaan IPP dalam industri itu ternyata membantu mengembangkan industri selain menjadikannya lebih berdaya saing.

Menurutnya, negara lain telah memperkenalkan sistem lebih terbuka dikenali pasaran pedagang yang tidak membabitkan sebarang kontrak dan syarikat yang berminat boleh membina loji jana kuasa dan menjualnya kepada utiliti yang seterusnya membekal dan menjualnya kepada pengguna.

“Risikonya adalah dari segi kemungkinan pelabur baharu tidak bersedia meletakkan pelaburan bagi kapasiti penjanaan baharu tanpa sebarang jaminan pasaran dan akan kembali memanfaatkan PPA,” katanya.

Berikutan itu, PPA memberi pelabur yang berpotensi dari segi keyakinan membina kapasiti baharu berikutan wujudnya jaminan pulangan pelaburan.

Selain itu, beliau turut mempertikaikan mengenai idea untuk meliberalisasikan bekalan tenaga sepenuhnya dan menyifatkan langkah itu berkemungkinan tidak membawa kepada pengurangan segera harga tenaga sepertimana yang terbukti berlaku di United Kingdom (UK) dan negara Eropah yang lain.

“Apabila UK dan negara-negara Eropah lain memulakan liberalisasi bekalan tenaga, ia menyebabkan bil pengguna meningkat sedikit.

“Oleh itu, liberalisasi sepenuhnya itu berkemungkinan tidak membawa kepada penurunan harga sebaliknya ada kemungkinan ia akan meningkat,” katanya.

Beliau berkata isu lain akibat kesan langkah liberalisasi sepenuhnya bekalan tenaga itu adalah dari segi pengurusan subsidi silang yang diberi kepada industri.

Ini kerana subsidi tersebut boleh disalahguna bagi memberi manfaat kepada segelintir penduduk jika tidak diuruskan dengan kaedah yang betul, katanya.

Menyentuh kemajuan TNB pada masa depan, Moggie berkata TNB sentiasa bersedia terhadap sebarang jangkaan perubahan teknologi dan pasaran.

“Di TNB, kami sudah membuat persediaan itu sejak dua tahun lepas bagi memastikan struktur yang ada dapat dimanfaatkan apabila perubahan itu berlaku. Kami menggelar program ini sebagai ‘Reimagining TNB,” katanya.

Menurutnya, syarikat itu juga telah memperkenalkan meter pintar yang dapat dibaca secara jarak jauh dan membolehkan pengguna menguruskan penggunaan tenaga.

TNB turut menggunakan rangkaian grid pintar bagi memudahkan peningkatan suntikan tenaga boleh diperbaharui ke dalam jaringan tersebut.

Selain daripada itu, kata Moggie, TNB juga telah mewujudkan bahagian runcit bagi menguruskan jangkaan pelanggan.

“Mereka (bahagian runcit) perlu peka dan maklum dengan jangkaan pengguna yang sememangnya tinggi.

“Atas alasan itu, kami berpendapat di peringkat TNB telah bersedia seperti sepatutnya dan pengalaman kami terhadap jangkaan pasaran pengguna selama ini akan memberi keyakinan itu,” katanya.

Beliau turut juga menjangkakan permintaan tenaga akan berkembang pada kadar lebih perlahan pada tahun-tahun akan datang seiring dengan kematangan ekonomi negara dengan tumpuan lebih kepada sektor perkhidmatan berbanding sektor pembuatan.

“Kami mengunjurkan permintaan akan terus meningkat namun kadar kenaikannya tidaklah sepantas seperti sebelumnya. Jika sebelum ini pada empat hingga lima peratus namun sekarang ia kurang daripada dua peratus,” katanya.

Menurut Moggie, faktor lain yang menyumbang kepada pertumbuhan permintaan yang lebih perlahan itu adalah langkah pengguna yang lebih menggunakan sistem pintar yang menumpukan aspek cekap tenaga.

Setakat ini, talian penghantaran TNB meliputi sejauh lebih 6,300 kilometer manakala jumlah pelanggannya pula mencecah 9.6 juta termasuk di Sabah yang mana TNB memiliki 83 peratus dalam Sabah Electricity Sdn Bhd.. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan