Kereta antara yang rosak dalam kejadian hujan lebat di Afrika Selatan. foto Agensi

DURBAN – Kira-kira 70 orang terbunuh di Afrika Selatan selepas hujan lebat melanda perairan timur.

Wilayah KwaZulu-Natal, paling banyak kematian direkodkan selepas hujan lebat dan banjir serta runtuhan lumpur berlaku.

Situasi ini kerap berlaku setiap tahun tetapi kali ini luar biasa kerana jumlah kematian tinggi dalam tempoh singkat.

“Angka kematian meningkat kepada 70 orang, ” kata jurucakap Jabatan Hal Ehwal Tradisional dan Tadbir Urus.

Mangsa-mangsa yang terlibat mendakwa air hujan dan lumpur telah melimpah masuk ke dalam rumah dan menjejaskan jalan raya dan infrastruktur lain.

Hujan lebat dan lumpur dari bukit-bukit telah membenamkan jalan-jalan di rantau ini, selain kereta, bumbung rumah dan lain-lain.

Vanetia Phakula, seorang pegawai kanan di Perkhidmatan Cuaca Afrika Selatan berkata, ribut itu tidak dilihat sebagai luar biasa, walaupun tahap hujan mungkin lebih tinggi daripada biasa.

Lebih 100 milimeter hujan dicatatkan jatuh di banyak stesen di kawasan itu antara Isnin pagi dan Selasa, katanya. – MalaysiaGazette