KUALA LUMPUR – AirAsia akan memulakan pencarian kru kabin di Terengganu pada bulan hadapan.

Temu duga kru kabin tersebut akan berlangsung pada 4 Mei di Pusat JobsMalaysia di Kuala Terengganu mulai pukul 9 hingga 11 pagi.

Ketua Kumpulan Kru Kabin Kumpulan AirAsia Suhaila Hassan berkata, syarikat itu mencari individu yang mempunyai personaliti yang menarik, bersemangat tinggi, dan mempunyai kemahiran untuk bekerja dalam pasukan.

“Kami percaya bahawa terdapat ramai bakat-bakat dari Pantai Timur Malaysia yang boleh diketengahkan. Jadi kami teruja untuk memulakan pencarian individu yang bersemangat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para tetamu dan menyertai keluarga kru kabin kami yang kini mencecah seramai 6,300 orang.

“Calon yang berjaya juga akan berpeluang untuk mengembangkan kerjaya mereka, menjalani latihan bertaraf dunia dan menerima pakej imbuhan yang menarik termasuklah pelbagai faedah perjalanan,” katanya.

Graduan daripada mana-mana bidang dan kru yang berpengalaman juga digalakkan untuk memohon.

Temu duga ini terbuka kepada individu yang berumur 18 tahun dan ke atas dan calon-calon yang berminat haruslah melengkapkan borang di sini dan hadir bersama sijil asal dan salinan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kredit dalam Bahasa Inggeris atau setaraf, sijil asal dan salinan institusi pengajian tinggi atau setaraf, resume terkini, salinan dan kad pengenalan asal, salinan gambar bersaiz pasport dan salinan gambar penuh terkini.

AirAsia juga akan mengadakan temu duga terbuka di ibu pejabat AirAsia, RedQ di Sepang pada 11 Mei. – MalaysiaGazette