ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka hampir tidak berubah hari ini, menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang rendah susulan tindakan pelabur mengambil untung dan pada masa memberi reaksi terhadap keputusan pendapatan korporat diraih syarikat serta saham wajaran tinggi Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

Pada 9.07 pagi, ringgit diniagakan pada paras 4.1350/1380 berbanding dolar AS daripada 4.1250/1300 sewaktu ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 0.67 mata kepada 1,637.34.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 160 berbanding 105 manakala 215 kaunter lain tidak berubah, 1,424 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 262.59 juta saham bernilai RM114.05 juta.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd menerusi satu nota penyelidikan berkata saham perkhidmatan tenaga dan komunikasi di AS mencatat prestasi lebih rendah di pasaran pada Rabu, manakala indeks penanda aras itu pula secara keseluruhannya susut 0.2 peratus.

Menurutnya, S&P 500 lebih reda semalam selepas mencatat paras penutupan baharu yang lebih tinggi, dipacu oleh keputusan pendapatan kukuh dan pendirian bank pusat negara itu yang tidak agresif.

Indeks Komposit Nasdaq yang membabitkan saham sektor teknologi, turut ditutup pada paras tertinggi pada Selasa, melepasi paras harian sebelumnya tetapi ditutup 0.2 peratus lebih rendah, semalam.

Sementara itu, Kenanga Research berkata Bursa Malaysia sebaliknya yang mengekalkan prospek penyusutan harga FBM KLCI pada masa ini, turut menyaksikan peningkatan momentum petunjuk sedia ada.

“Sekiranya pasaran kembali meningkat, kita akan menyaksikan paras rintangan sekitar 1,660 dan 1,700 manakala sokongan penurunan pada 1,615 dan 1,600,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Bagi kelompok saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM9.16 manakala Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing tidak berubah pada RM22.64 dan RM9.03.

Tenaga susut dua sen kepada RM12.32 dan CIMB meningkat dua sen kepada RM5.27.

Kaunter paling aktif menyaksikan Bumi Armada susut satu sen kepada 26 sen, Ekovest menokok satu sen kepada 94.5 sen dan VSolar tidak berubah pada 17.5 sen.

Bagi saham untung, United Plantation meningkat 44 sen kepada RM27.00, Lafarge untung 15 sen kepada RM3.16 dan Takaful naik 14 sen kepada RM5.67.

Saham rugi pula menyaksikan YNH Property turun tujuh sen kepada RM1.56, manakala UMW susut enam sen kepada RM5.52.

Indeks FBM Emas mencatatkan 3.85 mata kepada 11,668.97, Indeks FBMT 100 naik 2.76 mata kepada 11,478.28 dan Indeks Syariah FBM Emas menambah 1.24 mata kepada 11,879.08.

FBM 70 meningkat 20.09 mata kepada 14,752.86 namun FBM Ace susut 11.73 mata kepada 4,777.58.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 23.80 mata kepada 16,907.48 namun Indeks Perladangan susut 6.57 mata kepada 7,258.79 dan Indeks Produk & Perkhidmatan Industri menokok 0.18 mata kepada 171.60. – MalaysiaGazette