Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri China Li Keqiang

KUALA LUMPUR – Malaysia dan China hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi republik itu membeli tambahan 1.9 juta tan minyak sawit Malaysia dengan anggaran nilai RM4.56 bilion bagi tempoh lima tahun (2019-2023).

MoU tersebut ditandatangani di Beijing oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di bawah Kementerian Industri Utama (MPI) dengan Dewan Perdagangan Bahan Makanan dan Produk Asli China (CFNA) di bawah Kementerian Perdagangan.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri China Li Keqiang.

Objektif utama MoU itu adalah untuk meningkatkan perdagangan dan kerjasama dalam sektor minyak sawit antara China dan Malaysia.

“Nilai ini berdasarkan harga purata minyak sawit pada tahun 2018 sebanyak US$D600 satu tan dan pertukaran mata wang RM4 bagi US$1.

“Antara kandungan utama MoU ini termasuk pelaksanaan program kerjasama dengan membenarkan belian terus minyak sawit dan produk berasaskan sawit yang berjumlah 1.9 juta tan untuk tempoh lima tahun mulai 2019 hingga 2023,” kata MPI dalam satu kenyataan akhbar.

Kerjasama tersebut turut melibatkan pelaburan modal dalam kilang biobahan api jet oleh pihak China, tidak kurang daripada RM2 bilion (US$500 juta) dan lelemak tepu RM200 juta (US$50 juta) tertakluk kepada kebolehupayaan pasaran.

“Kita juga akan mengadakan kerjasama dalam menangani isu perdagangan antaranya dengan menggalakkan penggunaan mata wang China, Renminbi bagi perdagangan minyak sawit, tertakluk kepada kelulusan Bank Negara Malaysia dan sebagainya, meneroka bidang dan kerjasama baharu yang berpotensi; dan membuat pelaporan secara berkala di antara kedua-dua pihak,” menurut kenyataan itu.

China adalah rakan dagang utama Malaysia bagi minyak sawit dan produk berasaskan sawit selepas Kesatuan Eropah (EU) dan India.

Nilai eksport minyak sawit ke China bagi tahun 2018 adalah sebanyak 3.07 juta tan (RM8.4 bilion).

Pada 23 Nov 2015, kerajaan Malaysia dan kerajaan China telah menandatangani Perjanjian Program Kerjasama Untuk Meningkatkan Kerjasama Perdagangan, Ekonomi dan Pelaburan Dua Hala (Perjanjian Perdagangan) dan Perjanjian Meningkatkan Kerjasama Dalam Kapasiti Pengeluaran dan Pelaburan (Perjanjian Kapasiti Pengeluaran dan Pelaburan) di Putrajaya.

Namun begitu, nilai eksport minyak sawit ke China bagi tahun 2018 telah menunjukkan penurunan sebanyak 10.8 peratus berbanding tahun 2017.

Kajian semula ke atas MoU ini hanya boleh dilaksanakan selepas tiga tahun dari tarikh kuat kuasa.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here