Ineza Roussille (kiri).

KUALA LUMPUR – Cucu Tun Dr. Mahathir Mohamad mengaku tidak gembira apabila datuknya mahu menjadi Perdana Menteri semula.

Ineza Roussille yang juga seorang penerbit filem itu berkata, dia selalu tidak sefahaman dengan datuknya dalam hal politik.

“Sebagai keluarga, kami agak rapat. Kami cuba bercuti bersama sekali setahun.

“Bagaimanapun saya tidak pernah bincang isu politik dengan datuk kerana saya tak bersetuju sesetengah perkara dilakukannya, ada peraturan tak bertulis kami tidak boleh kritik sesama sendiri secara umum,” katanya dipetik dari South China Morning Post (SCMP).

Ineza merupakan anak perempuan Marina Mahathir itu pernah membantu proses dokumentari datuknya semasa PRU-14 bertajuk M for Malaysia.

“Jadi semasa emak saya tanya sama ada saya mahu membantu membuat dokumentari, saya enggan.

“Salah satunya saya tak mahu terlalu rapat dengan jentera politik dan dilihat hilang objektiviti selain dilihat di pihaknya semasa kempen, saya akan terdedah berbanding tidak dikenali sebelum itu,” katanya.

Ineza, 32, juga teringat dia melihat salah seorang anak Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi rakan sekolahnya bersedih selepas Mahathir memecat timbalannya pada tahun 1998.

Akibatnya dia mendapat tekanan daripada rakan-rakan sekolahnya ekoran isu berkenaan.

“Saya tak merasai derita seperti anak Anwar derita tetapi apabila peristiwa 1998 berlaku, kawan-kawan sekolah bercakap benda buruk kepada saya setiap hari,” katanya lagi.

Ineza berkata, sebelum terlibat dalam pembikinan dokumentari itu – dia hanya berjumpa dengan datuknya semasa percutian keluarga.

Bagaimanapun, dia menyaksikan buat pertama kali Mahathir ‘bekerja’ dan ia mengaguminya.

Begitu juga kekagumannya kepada neneknya, Tun Dr. Siti Hasmah Ali yang mengikuti datuknya berkempen.

Di sebalik itu, Ineza juga mula melihat perspektif baharu dalam politik di Malaysia dan datuknya.

“Bila orang serang dia (Mahathir) ia memualkan. Jika dia cakap sesuatu yang saya tak setuju, ia juga memualkan kerana saya prihatin. Dulu masa dia PM kali pertama saya belum cukup dewasa,” katanya.- MalaysiaGazette