Pegawai dan anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia mengusung jenazah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim ketika memberikan penghormatan terakhir kepada arwah di Kampung Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah, Kedah. foto AFIQ RAZALI, 18 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR- Pakar Forensik, Prof. Dr Shahrom Abd. Wahid membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, Selasa lalu berhubung dakwaan beliau telah mengugut saksi-saksi pakar lain yang terlibat di dalam inkues kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Menurut Peguam Syazlin Mansor, ia merupakan satu tuduhan yang tidak berasas kerana tiada kejadian ugutan berlaku dalam mana-mana perjumpaan di antara kedua-dua pihak.

“Ini merupakan satu tuduhan yang tidak berasas dan tidak benar terhadap Prof Dr. Shahrom Bin Abd Wahid. Perkara yang dinyatakan di dalam laporan polis dan akhbar tersebut tidak berlaku, yang mana tiada kejadian ugutan dalam mana-mana perjumpaan antara kedua-dua pihak.

“Untuk makluman umum, Prof. Dr. Shahrom Bin Abd Wahid telah bersara pada tahun 2017, namun demikian beliau sanggup memberikan khidmat kepakaran beliau secara pro bono (percuma), untuk membantu mahkamah dalam prosiding inkues ini

“Kami langsung tidak menyangka beliau akan dituduh seperti ini namun begitu kita menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk menyiasat perkara ini secara menyeluruh, adil dan terperinci,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Syazlin merupakan peguam yang mewakili keluarga Muhamad Adib, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Dua hari lalu, polis mengesahkan telah menerima dua laporan daripada dua orang doktor pakar Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) berhubung ugutan serta cubaan mempengaruhi penilaian mereka membabitkan kes kematian pegawai bomba semasa rusuhan di Kuil Maha Mariamman, Subang Jaya, Disember lalu.

Kes diklasifikasikan dibawah Seksyen 189 Kanun Keseksaan iaitu Ugutan Bencana Kepada Seorang Penjawat Awam.

Dua pakar forensik yang memberi keterangan dalam inkues Adib adalah Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Datuk Dr. Md Shah Mahmood.

Manakala seorang lagi pakar yang dipanggil adalah Prof Dr Shahrom. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/23/pakar-forensik-saksi-inkues-adib-buat-laporan-polis-dakwa-diugut-saksi-lain/