Lee Hup Wei
Lee Hup Wei

KUALA LUMPUR – Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei tidak bernasib baik memperoleh pingat gangsa apabila terpaksa berpuas hati di tempat keempat pada Kejohanan Olahraga Asia berlangsung di Doha, Qatar, awal pagi ini.

Hup Wei merekodkan catatan yang sama dengan pemenang pingat gangsa, Naoto Tobe dari Jepun yang mencatat 2.26 meter (m).

Namun Naoto melakukan lompatan 2.26m pada percubaan pertamanya sementara Hup Wei mencatat 2.26m pada percubaan ketiganya.

Seorang lagi atlet negara, Nauraj Singh Randhawa pula berpuas hati di tempat keenam apabila melakukan 2.23m yang juga adalah catatan terbaiknya pada musim ini.

Acara akhir lompat tinggi lelaki itu dimenangi Majdeddin Ghazal dari Syria yang merekodkan 2.31m sementara seorang lagi atlet Jepun, Takashi Eto membawa pulang pingat perak dengan catatan 2.29m.

Pada edisi ke-23 Kejohanan Olahraga Asia itu, skuad olahraga negara menghantar keseluruhan sembilan atlet terbaik negara dengan Jackie Wong menjadi satu-satunya atlet negara yang mencipta rekod kebangsaan bagi acara tukul besi sementara atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamshuddin gagal mempertahankan pingat perak yang dimenangi pada edisi lalu di Bhubaneswar, India pada tahun 2017. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.