KUALA LUMPUR – Pakar ekonomi menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 24 mata asas kepada tiga peratus tidak lama lagi, memandangkan tekanan inflasi lemah.

Ketua Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass berkata, terdapat ruang mencukupi untuk bank pusat itu mengambil langkah mengurangkan kadar kerana data makro utama juga memberi petunjuk penyederhanaan ekonomi di atas tekanan inflasi yang rendah.

“Buat masa ini, kami menjangkakan penurunan kadar mungkin berlaku pada Julai. Kami tidak mengambil kira kemungkinan penurunan kadar dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada Mei depan berikutan cabaran semasa di dalam negara,” katanya yang menyebut kemungkinan pengguguran daripada Index Bon Kerajaan Dunia FTSE dan risiko penurunan penarafan oleh Moody’s, yang akan melemahkan ringgit.

Inflasi keseluruhan kembali positif pada Mac selepas berada di zon deflasi untuk tempoh dua bulan berturut-turut, meningkat sebanyak 0.2 peratus tahun ke tahun daripada -0.4 peratus tahun ke tahun pada Februari, kata Dass dalam satu nota penyelidikan.

Pada masa hadapan, katanya, inflasi keseluruhan dijangka meningkat beransur-ansur, sebahagiannya disebabkan asas rendah dan harga minyak mentah global yang tinggi walaupun inflasi mungkin kekal tidak berubah dalam tempoh terdekat disokong sentimen lemah pengguna dan perniagaan.

Sementara itu, ahli ekonomi RHB Research Vincent Loo Yeong Hong juga menjangkakan kemungkinan penurunan OPR oleh BNM memandangkan pertumbuhan ekonomi dijangka rendah seperti yang diunjurkan oleh BNM dan disebabkan oleh kenaikan kadar dasar sebenar.

“Dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2019 Malaysia dijangka terus perlahan dengan tekanan inflasi rendah, kami percaya kemungkinan besar BNM akan menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus, barangkali seawal Mei depan,” katanya. – MalaysiaGazette