Datuk Seri Jamal Md Yunos
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap kepada media selepas menghadiri perbicaraan dua pertuduhan di bawah Akta Imigresen dan Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ampang Jaya, Ampang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 25 APRIL 2019

AMPANG – Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos berpendapat ada arahan ‘pihak atasan’ di sebalik pendakwaan beberapa kes beliau dilakukan secara tergesa-gesa.

Beliau tidak menolak kemungkinan pendakwaan terburu-buru itu didalangi oleh Peguam Negara, Tommy Thomas yang bertegas meneruskan prosiding meskipun keadaan dirinya tidak sihat.

“Saya ada bertanya kepada pendakwaraya pada perbicaraan lepas. Kenapa terlalu tergesa-gesa dalam kes saya ini.

“Jadi jawapan mereka kes saya ini dipantau sendiri Tommy Tomato (Thomas), di mana failnya berada di atas meja beliau.

“Saya pun tak tahu motif kerajaan baharu ini. Saya amat yakin dan percaya, mahkamah tidak bersalah, pendakwaraya pun tidak bersalah.

“Tapi ada arahan-arahan yang lain di atas sana untuk menerus dan mempercepatkan pertuduhan ini kepada saya,” katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Sesyen/ Majistret Ampang Jaya hari ini.

MGF25042019_JAMAL YUNOS MAHKAMAH AMPANG_13
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berjalan keluar selepas menghadiri perbicaraan dua pertuduhan di bawah Akta Imigresen dan Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ampang Jaya, Ampang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 25 APRIL 2019

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu hadir ke Mahkamah Majistret Ampang Jaya hari ini dengan dibawa menaiki van ambulans dari Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri bagi perbicaraan dua kesnya.

Kehadiran Jamal yang diiringi petugas hospital berkenaan dengan memakai baju pesakit dan membawa water drip ke mahkamah itu selepas beliau dimasukkan ke pusat perubatan itu kerana demam campak sejak semalam.

Jamal juga mendakwa tindakan Tommy meneruskan perbicaraannya tanpa mempedulikan keadaan kesihatannya dipercayai kerana mahu menghabiskan tugasnya sebelum bersara dalam masa terdekat.

“Apa saja keputusan daripada arahan Tommy, jadi tak apa beliau tergesa-gesa, mungkin dia habiskan (tugas) tamat kontrak dia pada 5 Mei ini, saya tak tahu…Wallahualam,” katanya.

MGF25042019_JAMAL YUNOS MAHKAMAH AMPANG_15
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menaiki kenderaan ambulans selepas menghadiri perbicaraan dua pertuduhan di bawah Akta Imigresen dan Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ampang Jaya, Ampang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 25 APRIL 2019

Katanya, perbicaraannya itu merupakan kes pertama dalam sejarah yang mengheret tertuduh ke mahkamah dalam keadaan sakit dan sedang mendapatkan rawatan perubatan.

“Ini adalah kali pertama ada kes sebegini (tertuduh sakit tapi terus dibicarakan),” katanya.

Jamal turut menyifatkan tindakan itu tergesa-gesa sebagai satu penganiayaan dan menafikan haknya untuk mendapatkan rawatan perubatan walaupun beliau menghadapi pertuduhan di mahkamah.

“Saya bimbang dan khuatir bahawa tuduhan-tuduhan terhadap saya oleh kerajaan baru ini tidak tulus dan tidak adil untuk diri saya. Saya adalah orang yang dituduh dan saya juga mempunyai hak sebagai rakyat Malaysia.

“Kalau saya sakit atau perkara-perkara yang halang saya datang ke mahkamah, mengikut peraturan mahkamah, jadi itu adalah hak saya (tidak hadir).

“Jadi saya rasa ada sesuatu yang cuba untuk menafikan hak saya sebagai orang yang dituduh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan