KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dikeluarkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung program matrikulasi untuk bukan bumiputer disifatkan ‘melulu’ dan terdesak.

Walaupun telah mencadangkan peningkatan kuota pengambilan daripada 25,000 pelajar kepada 40,000 pelajar namun ia dianggap masih tidak menguntungkan pelajar India kerana jumlah bilangan poengambilan telah berkurangan kepada 2000 pelajar berbanding 2,200 pelajar sebelum ini.

Menurut Exco MIC Selangor, TM Selvam, sehingga kini Maszlee mahupun Kementerian Pendidikan masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai jumlah tawaran yang diberikan serta kuota untuk kaum India pada tahun ini.

“Semua kenyataan dan fakta ‘berbelit-belit’, dari ‘one off’ sekarang sudah ada tawaran mendadak sehingga 40,000 pelajar ke matrikulasi.

“Adakah kenyataan ‘bombastik’ dengan menambah bilangan mendadak sehingga 40,000 kononnya akan memberikan yang bukan dalam kalangan bumiputera memberi kebaikan?

“Jika nisbah 90:10 dibahagi sama rata antara Cina dan India, maka kami akan mendapat 2,000 tempat masing-masing berbanding kerajaan Barisan Nasional yang beri 2,200 kepada pelajar kalangan India. Ini kerana daripada 40,000 itu kami hanya dapat 4,000 sahaja.

“Jika benar, kerajaan dahulu lebih baik dan prihatin kerana berikan kami lebih tetapi pada masa yang sama masih lagi mengutamakan pelajar bumiputera sekaligus tidak lari dari matlamat asal penubuhan matrikulasi.

“Sebenarnya, kami dalam MIC tidak mempersoalkan apa-apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 153. Kontark sosial antara kaum yang di buat dulu pastinya kita hormati.

“Tetapi janganlah pandai cakap sebelum pilihan raya umum, berikan harapan tinggi menggunung kemudian bila kuasa diberikan daripada pengundi latar belakang semua kaum, kamu buat lebih teruk lagi. Jangan lupa, masyarakat India banyak berikan undi kepada PH.

“Sekarang kamu seolah-olah merampas pula hak matrikulasi yang telah diberikan oleh kerajaan terdahulu, kamu menidakkan hak kami. Soalan kami mudah sahaja, apa terjadi dengan 2,200 tempat yang diberikan kepada pelajar India,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Selvam mengulas keputusan Jemaah Menteri semalam dengan mengekalkan pengambilan Program Matrikulasi KPM pada tahun ini masih kekal 90 peratus tempat kepada Bumiputera dan 10 peratus tempat kepada bukan Bumiputera.

Bagaimanapun, bilangan kemasukan pelajar ke Program Matrikulasi KPM kepada 40,000 tempat berbanding 25,000 sebelum ini.

Kata Maszlee, KPM juga bercadang untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang sains dan kapasiti yang ada pada Program Matrikulasi selain daripada memberi keutamaan kepada golongan B40.

Dalam pada itu, Selvam turut menyoal apakah rasional kerajaan dalam menambah bilangan kuota daripada 25,000 kepada 40,000 secara mendadak yang di khuatiri mungkin akan membebankan.

“Bagaimana kerajaan akan menampung jumlah ini dengan begitu mendadak? Adakah perbelanjaan besar akan dikeluarkan kelak untuk membina lebih banyak kemudahan?

“Jika begitu, adakah yuran juga akan ditingkat untuk menampung itu? Bagaimana pula ketika tawaran kemasukan ke universiti awam selepas itu? Adakah juga akan di tambah bilangan tempatnya? jangan lupa pula dengan pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Jadi siapakah yang akan terbeban? Saya mahu nasihatkan YB Maszlee juga kerajaan PH ini. Jangan kerana ini bukan pilihan raya bukan masa kempen, janganlah terus ‘gula-gulakan’ kami sebegini teruk, ini tentang generasi akan datang, fikir baik-baik sebelum bertindak,” katanya. –MalaysiaGazette

Kuota pengambilan matrikulasi kekal 90:10

Kalau betul one-off, sila dedahkan maklumat kemasukan matrikulasi tahun ini

Apa nasib pelajar cemerlang India tak dapat matrikulasi?