P. Waytha Moorthy
P. Waytha Moorthy

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini hanya meneruskan sistem kouta pelajar dalam pendidikan negara yang diwariskan pentadbiran lalu dalam memastikan golongan termiskin khususnya Melayu tidak ketinggalan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Nasional), P Waytha Moorthy berkata, sekiranya sistem itu benar-benar dapat menambahbaik mutu pendidikan, ia sewajarnya diteruskan.

“Konsep kouta (pelajar) sudah wujud di negara ini sejak sekian lama, matlamatnya untuk membantu masyarakat Melayu yang termiskin agar tidak ketinggalan dalam pendidikan.

“Kerajaan hari ini hanya meneruskan polisi kekalkan kouta itu. Kalau polisi dapat membantu menambahbaik pendidikan, saya fikir ia patut digalakkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pendidikan & Pembelajaran Kebangsaan 2019 di Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini.

MGF25042019_SIDANG KEMUNCAK PENDIDIKAN_06
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan), P. Waytha Moorthy berucap pada Sidang Kemuncak Pendidikan dan Pembelajaran Kebangsaan 2019 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 APRIL 2019

Dalam pada itu, Waytha mencadangkan sistem pendidikan negara dikaji semula bagi memastikan semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama tidak ketinggalan dan mendapat hak pendidikan sewajarnya.

“Betul (peratusan pelajar India di universiti masih rendah) itu saya fikir Menteri Pendidikan sedang melihat perkara itu.

“Cadangan saya supaya sistem pendidikan negara dikaji semula dan saya pasti dia akan melihatnya dan cadang perkara baru,” katanya. – MalaysiaGazette