PUTRAJAYA – Pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis hari ini diberitahu analisis awal terhadap nombor akaun bank yang tertulis dalam satu buku nota yang ditemui di kem tersebut adalah milik seorang rakyat tempatan.

Perkara itu didedahkan oleh Pegawai Turus Bahagian Perlindungan Keselamatan (E6) Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, ASP Wan Ahmad Hamirudeen Wan Ahmad ketika memberi keterangan selaku saksi ke-19 RCI.

Beliau berkata selain nombor akaun bank, pihaknya turut menganalisis butiran nama dan nombor telefon yang terdapat dalam buku nota berkenaan.

Disebabkan ia maklumat sulit, Wan Ahmad Hamirudeen memohon untuk memberikan keterangan secara tertutup dan Pengerusi RCI Tun Arifin Zakaria membenarkannya dengan meminta orang awam serta pengamal media meninggalkan tempat prosiding yang berlangsung di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri.

Terdahulu, Wan Ahmad Hamirudeen berkata beliau bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah serta Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan tinjauan di kawasan sempadan negara di Bukit Wang Burma pada 23 Jan 2015.

Beliau yang bertindak selaku penyelaras operasi berkaitan penemuan kes penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian berkata tinjauan tersebut menemui lima lagi kem penempatan di Bukit Wang Burma.

Menurut Wan Ahmad Hamirudeen, daripada lima kem tersebut, dua daripadanya kelihatan disediakan untuk digunakan semula, manakala tiga yang lain merupakan kem lama, kosong dan ada kesan dibakar.

Maklumat tersebut beliau serahkan kepada Bukit Aman untuk tindakan lanjut, katanya.Prosiding bersambung semula 7 Mei.- BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.