Najib Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan penyokong selepas selesai menghadiri perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Terdapat transaksi pengeluaran sebanyak RM3.5 juta dari akaun Ambank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ia ditutup pada Mac 2015.

Bagaimanapun, saksi ke-21, Pengurus Ambank Cawangan Raja Chulan, R Uma Devi mendedahkan terdapat kesilapan sehingga menyebabkan penerimanya hanya menerima RM3,500.

Kata Uma Devi, sekeping cek yang bernilai RM3.5 juta telah dikeluarkan kepada firma Hafarizam Wan Aisha & Mubarak pada 21 Januari 2015 dan didebitkan sehari selepas itu.

Uma Devi kemudian mendedakan, Najib kemudian mengarahkan penutupan tiga akaun beliau selepas dibuka pada 31 Julai 2013.

“Baki akaun yang ditutup adalah RM103,361.17 dan ianya telah dipindahkan ke Ihsan Perdana Sdn Bhd seperti diarahkan oleh Najib.

“Bagaimanapun, saya tidak ingat bilakah pembetulan RM3.5 juta kepada RM3,500 itu di buat oleh pihak ‘Cheque Prosessing Centre Ambank’,” katanya di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ihsan Perdana merupakan syarikat yang mengendalikan tanggungjawab sosial korporat bagi SRC International Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Uma Devi juga mendedahkan wujudnya transaksi kemasukan wang berjumlah RM14.5 juta ke akaun AmPrivate Banking-Y1MY antara Julai 2014 dan 11 Februari 2015.

AmBank (AmPrivate Banking-Y1MY) bernombor 211-202-2011898 milik Najib.

“Saya mengesahkan sejumlah RM10 juta dimasukkan ke dalam akaun itu pada 8 Julai 2014, RM1 juta dimasukkan pada 23 Julai 2014 dan RM3.5 juta dimasukkan pada 11 Feb 2015,” katanya kepada Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim.

Dalam pada itu Uma Devi juga mendedahkan terdapat juga surat arahan oleh Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd) bertarikh 8 Julai 2014 untuk memindahkan RM20 juta daripada akaun AmBank 211-202-201188-0 (Akaun AmPrivate Banking-Y1MY) milik Najib.

“Surat arahan itu turut mengarahkan AmBank untuk memasukkan RM10 juta daripada RM20 juta itu ke akaun Ambank bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY),” jelasnya.

Semalam Uma Devi mendedahkan sebanyak RM64 juta dimasukkan ke dalam akaun AmPrivate Banking-1MY milik Najib bernombor 211-202-201188-0 antara 8 Julai 2014 dan 10 Februari 2015.

Najib sedang berhadapan 7 pertuduhan salah guna jawatan, pecah amanah dan menerima hasil aktiviti haram bernilai RM42 juta membabitkan dana syarikat SRC International. –MalaysiaGazette