Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meluangkan masa melawat ruang pameran pada Majlis Perasmian Seminar on Energizing Sustinable Develpoment Goals fot People, Ecosystem and Planet di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 APRIL 2019

KUALA LUMPUR- Rang Undang-Undang (RUU) Pembaziran Makanan dijangka dibentangkan di Parlimen menjelang hujung tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, penyediaan RUU itu telah siap 75 peratus setakat ini.

Manakala baki 25 peratus lagi hanya melibatkan butiran terakhir terutama perbincangan dengan Kementerian Kewangan berhubung pengecualian cukai kepada penderma.

“Salah satu elemen penting yang kita belajar daripada negara-negara lain adalah pemberian insentif berbentuk pengecualian cukai kepada penderma.

“Ini akan menggalakkan mereka untuk membuat lebih banyak sumbangan selepas itu.

“Ini antara komponen penting di dalam RUU itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Menjayakan Matlamat Pembangunan Lestari di Universiti Malaya hari ini.

Tambah Saifuddin, hasil perbincangan dengan penasihat-penasihat undang-undang, beliau yakin Malaysia berada di landasan tepat untuk memperkenalkan Akta Pembaziran Makanan.

Tambahnya, dijangkakan sejumlah 20 tan makanan akan dibazirkan setiap hari di sepanjang bulan Ramadhan nanti.

Akhir tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan kerajaan sedang melaksanakan kajian terperinci mengenai Akta Pembaziran Makanan bagi mengelakkan terlalu banyak makanan dibuang.

Antara perkara yang dipertimbangkan adalah mengenakan denda terhadap golongan yang membazirkan makanan. -MalaysiaGazette