Azhar Azizan Harun

SANDAKAN – Bakal calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan yang telah membayar Deposit Pilihan Raya diingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata calon yang mewakili mana-mana parti politik juga diperingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.

Katanya pada hari penamaan calon Sabtu ini, kertas penamaan calon boleh dikemukakan antara jam 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya oleh pihak-pihak berikut iaitu calon dan pencadang serta penyokong, atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

SPR berhasrat agar proses penamaan calon berjalan lancar tanpa apa-apa insiden tidak baik, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, SPR menyeru semua calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada hari penamaan calon.

Beliau berkata perhatian khusus perlu diberikan kepada peruntukan di bawah Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) mengenai larangan semasa hari penamaan calon.

Katanya antara lainnya ialah penggunaan apa-apa alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan dan vesel tidak dibenarkan dan merupakan satu kesalahan.

Menurutnya orang ramai serta penyokong-penyokong parti dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon.

Azhar berkata jika ada mana-mana pihak yang melanggar peruntukan seksyen ini, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sepatutnya.

Parti-parti politik yang terlibat bertanggungjawab untuk mengawal penyokong masing-masing pada setiap masa untuk menjamin proses penamaan calon berjalan lancar dan dalam suasana yang selesa serta aman, katanya.

SPR menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Sandakan pada Sabtu ini (27 April) di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua Sandakan.- BERNAMA