SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang wanita bergelar ‘Datuk Seri’ dan seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ bagi membantu siasatan kes memberi suapan kepada penguatkuasa sebuah kementerian, yang dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit.

Menurut sumber, wanita berumur 49 tahun itu yang merupakan ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat pembekalan ditahan kira-kira pukul 5.30 petang di Ibu Pejabat SPRM di sini, selepas hadir memberi keterangan.

Lelaki berusia 55 tahun yang merupakan penasihat syarikat itu pula ditahan pada kira-kira pukul 11.30 pagi di kawasan Dutamas Raya, Kuala Lumpur, kata sumber itu.

Siasatan awal mendapati kedua-dua individu bersubahat membayar wang suapan kepada penguatkuasa sebuah kementerian sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap syarikat mereka yang menjalankan aktiviti mengutip deposit bagi pelaburan yang tidak sah sekitar Julai 2017, katanya.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Seri Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, dan berkata SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret Putajaya pagi esok.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

— BERNAMA