Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Penutup Minggu Media Sosial Malaysia 2019 (MSMW2019) di Pusat Pemeran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 25 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Rakyat di negara ini mempunyai hak multak dalam menentukan kelangsungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk terus berkuasa, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, rakyat digesa agar terus memainkan peranan mengkritik kerajaan bagi memastikan kepentingan rakyat dibela dan terus diutamakan.

“Kita tidak mahu dengar tentang kenyataan sombong (seperti kerajaan dulu) yang selalu rakyat dengar.

“Rakyat ada kebebasan untuk mengkritik kerajaan PH semahu mana yang kamu mahu,” katanya dalam ucapan penutup Minggu Media Sosial (MSMW) 2019 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, aktiviti kronisme perlu dibendung dan ia seiring dengan kehendak pimpinan PH sebelum ini.

“Anda berjuang melawannya. Kami komited untuk menghormati janji itu. Oleh itu marilah kita kekal positif.

“Ia bulan ke 11 dan saya tetap optimis. Kami mengalu-alukan sokongan kepada dasar positif kami dan mengkritik kami apabila menyimpang dari apa yang kami janjikan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette