KUALA LUMPUR – Pegawai Khas Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempersoalkan kewajaran tulisan Tamrin Tun Ghafar yang menggambarkan Muhyiddin sebagai tamak kuasa dan ingin menghalang Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, beliau tidak ingat bila masa Tamrin ada dalam Bersatu dan mungkin kerana beliau tidak bersama Bersatu menyebabkan ahli politik itu tidak tahu sejarah sebenar.

Marzuki menyingkap perkembangan awal ketika beberapa pimpinan parti anggota Pakatan Harapan mula hendak menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri di mana menurut beliau ketika itu  Bersatu masih belum membuat apa-apa pendirian rasmi mengenainya.

“Ada beberapa ahli MPT Bersatu datang menemui saya bertanya pendirian Tan Sri Muhyiddin mengenainya. Mereka merasakan Tan Sri Muhyiddin juga layak.

“Tetapi Tan Sri Muhyiddin tegas mengatakan tiada orang yang lebih layak untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri selain daripada Tun Mahathir.

“Malah, Tan Sri Muhyiddin lah orang yang pertama membuka mulut dalam Mesyuarat MPT Bersatu mengesyorkan agar Bersatu secara rasmi menamakan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri. Yang selebihnya adalah sejarah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Marzuki menarik perhatian mengenai peristiwa di ambang pembentukan kerajaan Pakatan Harapan selepas gabungan parti itu menumbangkan Barisan Nasional pada 9 Mei tahun lepas.

Katanya, ketika itu  seorang individu berpengaruh menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada Muhyiddin, bagaimanapun tawaran tersebut ditolak kerana rasa hormat beliau kepada Dr Mahathir selain janji yang telah termeterai.

“Tamrin tidak tahu sejarah ini kerana dia tidak berada dalam Bersatu,” katanya.

Marzuki menasihatkan pihak yang gemar membuat cerita rekaan dan menabur fitnah supaya menghentikan perbuatan terkutuk tersebut sambil mengingatkan mereka tentang beban yang kelak ditanggung di padang Mahsyar nanti amatlah berat.

“Bagi saya, sudah-sudahlah membuang masa bermain politik. Berilah ruang kepada pimpinan parti untuk menumpukan kerja membela rakyat kerana itulah sebab sebenar rakyat memilih Pakatan Harapan sebagai kerajaan,” katanya.

Tamrin dalam tulisannya yang dimuatnaik di laman Facebook Ops Johor antara lain menyebut Muhyiddin tidak boleh menjadikan alasan tidak dimaklumkan tentang pengguguran dua Exco sedangkan beliau memang diketahui tidak senang dengan Mazlan Bujang.

Beliau turut mencadangkan supaya presiden Bersatu itu mengundurkan diri dari arena politik di mana menurut Tamrin akan menjadikan Bersatu lebih kuat dan mantap.

“Eloklah beliau yang masih menjalani perubatan ini mengabiskan sisa-sisa hidupnya dengan meluangkan lebih banyak masa dengan isteri, anak dan cucu-cucunya,” tulis Tamrin. – MalaysiaGazette