Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan pendirian teguh memegang prinsip Liga Malaysia (Liga-M) harus ditadbir Liga Bola Sepak Malaysia (MFL),

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, dalam kenyataan berkata, penswastaan Liga-M telah dipersetujui oleh semua ahli gabungan FAM untuk menubuhkan FMLLP pada 2015 sebelum ia dijalankan secara profesional sepenuhnya bermula 2016.

Menurutnya, penganjuran liga domestik yang dikendalikan badan bebas secara profesional itu juga adalah seiring dengan kehendak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Badan bebas pentadbir liga domestik ini ditubuhkan bukan sahaja bagi memenuhi keperluan ditetapkan AFC, malah ia juga merupakan evolusi bola sepak profesional yang dapat kita lihat di seluruh dunia ketika ini.

“FAM sememangnya tiada hasrat untuk mengambil langkah ke belakang bagi menguruskan kembali Liga-M dan dengan ini tetap memegang prinsip bahawa MFL harus mentadbir liga dan FAM perlu memberi sokongan sepenuhnya kepada pihak pengurusan MFL,” katanya dalam kenyataan itu.

Semalam, Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony berpendapat FAM sepatutnya diberikan sepenuhnya kuasa dalam mengendalikan pengurusan bola sepak negara.

Kenyataan itu dibuat selepas MFL mengumumkan hukuman pemotongan 50 peratus geran tahunan dan sekatan perpindahan pemain ke atas tujuh pasukan Liga-M, Isnin lalu.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, segala tindakan diambil MFL adalah demi meningkatkan tahap profesionalisme untuk memastikan Liga-M mencapai tahap ditetapkan AFC.

“Sudah tentu dalam menuju ke arah profesionalisme bagi memastikan Liga-M mencapai tahap ditetapkan oleh AFC, ada kalanya MFL terpaksa membuat beberapa keputusan tegas yang sudah tentu tidak popular dalam kalangan pasukan yang mana kadang kala pasti berlaku perbezaan pendapat dan pandangan kerana masing-masing mempunyai pendapat dan pandangan yang tersendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata, FAM sentiasa bersedia berjumpa dengan mana-mana ahli gabungan untuk menjadi penghubung di antara MFL dan ahli-ahli gabungan bagi memastikan hubungan dan komunikasi dua hala antara semua pihak terlibat dapat diselesaikan secara baik.

“Perjalanan untuk menuju ke arah profesional ini bukan sesuatu yang mudah tetapi FAM masih tetap memberikan sokongan dan yakin kepada pihak pengurusan tertinggi MFL dalam menguruskan Liga Malaysia secara profesional sejak dari ia ditubuhkan, empat tahun yang lalu,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan