Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng diminta menjelaskan dakwaan berhubung pemberian tanah dan projek kepada China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bernilai RM10 bilion.

CCCC adalah kontraktor utama bagi projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL).

Sebelum ini ada dakwaan bahawa perjanjian sampingan itu terkandung dalam projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong membuat tuntutan itu selepas musykil kerana tiga memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai di China tidak dilaporkan secara terperinci oleh media tempatan.

“Salah satu MOU tersebut ialah antara agensi kerajaan MIDA dan CCCC bagi pembangunan taman perindustrian, infrastruktur, hab logistik dan yang berkaitan dengan projek ECRL.

“Tidak banyak perincian berhubung perjanjian ini sebagaimana yang dilaporkan oleh media tempatan kita,” katanya yang menyifatkan ia sebagai luar biasa apatah lagi melibatkan pembangunan besar iaitu berkaitan taman perindustrian dan hab logistik.

“Sepatutnya ia menjadi tajuk utama dan menghebahkannya sebagai satu kejayaan kerajaan,” ujarnya lantas bertanya adakah ini ada kaitan dengan apa yang didedahkan oleh blogger Raja Petra Kamaruddin (RPK) minggu lepas.

Blogger itu mendakwa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menyerahkan beribu-ribu ekar tanah kepada CCCC.

RPK juga mendakwa pemberian tanah dan projek kepada CCCC yang bernilai RM10 bilion itu merupakan perjanjian sampingan dalam projek ECRL.

Ka Siong berkata, beberapa hari lepas, Menteri Kewangan berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Bercakap kepada pemberita, Guan Eng memberitahu, beliau tidak percaya mengenai kontrak sedemikian kerana ia tidak dibincangkan di dalam Kabinet, selain turut menafikan pemberian tanah atau perjanjian seperti yang didakwa RPK.

“Adakah Menteri Kewangan bercakap benar atau sebaliknya? Dan projek bernilai RM10 bilion ini tidak dibawa ke pengetahuan Kabinet, sedangkan ia melibatkan tanah kerajaan yang akan diberikan kepada negara lain?

“Lim Guan Eng perlu menjelaskan persoalan serius ini.

“Dedahkan perincian kontrak dalam MOU ini dan bersihkan apa jua perjanjian sampingan yang mungkin ada dalam projek ECRL,” kata Ka Siong yang mahu Guan Eng mendedahkan sama ada CCCC diberikan pengecualian cukai jualan untuk projek ECRL atau sebaliknya.

Semalam, Malaysia dan China memeterai tiga MoU, termasuk persetujuan negara ekonomi kedua terbesar dunia itu menambah pembelian minyak sawit dalam tempoh lima tahun akan datang.

Perjanjian membabitkan peningkatan perdagangan minyak sawit dan kerjasama dalam pembangunan taman perindustrian, infrastruktur, hab logistik dan pembangunan berasaskan transit berkaitan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta pembangunan projek Bandar Malaysia yang diteruskan semula.

MoU pertama ditandatangani oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Dewan Perniagaan China bagi Import Eksport Makanan, Produk Asli dan Produk Sampingan Haiwan (CFNA).

Menerusi MoU itu, China akan membeli tambahan 1.9 juta tan minyak sawit dari Malaysia, dianggar bernilai RM4.56 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang, selain melabur sekurang-kurangnya RM2 bilion dalam kilang penapis bahan api pesawat berasaskan minyak sawit.

MoU kedua ditandatangani Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan China Communication Construction Company Ltd (CCCC), manakala yang terakhir membabitkan IWH CREC Sdn Bhd bersama kerajaan Malaysia berhubung kerangka persetujuan pembangunan projek Bandar Malaysia. – MalaysiaGazette